SEOUL, 11 Mei - Parti konservatif People Power Party (PPP) secara rasmi mendaftarkan bekas Menteri Buruh Kim Moon-soo, sebagai calon presidennya, pada Ahad.
PPP kini bergelut dengan krisis dalaman susulan penyingkiran bekas Presiden Yoon Suk Yeol yang dipecat selepas mengisytiharkan darurat tentera pada Disember lalu.
Minggu lalu, Kim memenangi pemilihan utama PPP sebagai calon rasmi untuk Pilihan Raya Presiden yang dijadualkan berlangsung pada 3 Jun.
Bagaimanapun, pencalonannya telah dibatalkan dan parti tersebut cuba menggantikannya dengan bekas Perdana Menteri Han Duck-soo, yang sebelum ini telah meletakkan jawatan bagi bertanding sebagai calon bebas.
Cubaan itu gagal apabila ahli parti menolak usul untuk menukar calon presiden daripada Kim kepada Han, sekali gus mengembalikan Kim secara automatik sebagai calon rasmi PPP.
“Pada hari ini, saya telah menyelesaikan proses pendaftaran pencalonan presiden. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang mengambil berat serta kepada rakan-rakan seperjuangan dalam parti,” kata Kim kepada media selepas mendaftarkan pencalonannya di Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan.
“Pilihan raya presiden kali ini sangat penting kerana ia akan menentukan siapa yang mampu mengatasi krisis semasa yang melanda negara dan membawa kebahagiaan kepada rakyat kita,” ujar Kim yang berusia 73 tahun.
“Saya berikrar akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai kemenangan dan memimpin Korea Selatan menjadi sebuah negara yang lebih hebat,” tambahnya.
Tarikh akhir untuk mendaftarkan calon dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan akan berakhir lewat Ahad. - AFP