KIEV, 11 Mei – Kuasa-kuasa utama Eropah menyokong cadangan gencatan senjata tanpa syarat selama 30 hari di Ukraine pada Sabtu, dengan sokongan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, serta mengancam Presiden Rusia Vladimir Putin dengan sekatan baharu yang besar-besaran, sekiranya beliau gagal bersetuju dalam tempoh beberapa hari.
Pemimpin Britain, Perancis, Jerman, Poland dan Ukraine menetapkan permulaan gencatan senjata pada 12 Mei dalam satu mesyuarat di Kiev, yang turut menyaksikan kumpulan pemimpin itu mengadakan panggilan telefon bersama Trump.
"Jadi, kami semua di sini bersama Amerika Syarikat menyeru Putin untuk bertindak. Jika beliau benar-benar serius mengenai keamanan, inilah masanya untuk membuktikannya," kata Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dalam satu sidang media.
"Tiada lagi alasan, tiada lagi syarat dan tiada lagi penangguhan.
Bagaimanapun, selepas pengumuman pemimpin Eropah itu, Kremlin dilihat menyindir cadangan berkenaan.
"Kami mendengar pelbagai kenyataan bercanggah dari Eropah. Secara umumnya, kenyataan-kenyataan itu bersifat konfrontasi dan bukannya bertujuan untuk memulihkan hubungan kami. Itu sahaja," kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov, seperti dilaporkan oleh agensi berita Rusia, Interfax.
Memetik laporan agensi berita TASS, Peskov berkata bahawa Rusia akan mempertimbangkan cadangan gencatan senjata tersebut, namun menegaskan bahawa Moscow mempunyai pendiriannya sendiri.
Sekatan Barat terhadap Rusia telah beberapa kali diperketatkan sejak pencerobohan berskala penuh pada tahun 2022, namun masih gagal menamatkan peperangan.
Tindakan susulan terhadap ancaman terbaharu ini dilihat sebagai petunjuk kepada perpaduan Barat yang semakin kukuh selepas beberapa bulan dasar Amerika yang tidak menentu sejak Trump kembali ke White House pada Januari lalu.-REUTERS