LOS ANGELES, 5 Mac- Puteri Wales, Kate Middleton dilihat muncul di khalayak umum pada Isnin.
Kemunculan tersebut adalah kali pertama selepas dia menjalani pembedahan perut pada pertengahan Januari lalu, menurut gambar yang disiarkan oleh portal TMZ.
Gambar yang diterbitkan oleh TMZ menunjukkan Kate memakai cermin mata hitam semasa dipandu dalam kereta, dengan laman berita selebriti itu mengatakan ia diambil pada Isnin berhampiran Istana Windsor.
Bagaimanapun, saluran media United Kingdom (UK) termasuk Daily Mail dan The Sun memilih untuk tidak menyiarkan gambar berkenaan.
"Kami tidak menyiarkannya kerana menghormati hak peribadi beliau sementara pulih daripada pembedahan dalam skala masa yang diberikan kepada kami," kata editor diraja ITV News, Chris Ship di platform X.
Kemunculan Kate berlaku apabila media sosial telah didedahkan dengan pelbagai teori konspirasi mengenai ketiadaan puteri yang terkenal kerana bekerja keras dan berbakti kepada rakyat.
Sebelum ini, Puteri Britain berusia 42 tahun itu, pulih setelah berehat di rumah mereka di Windsor, barat London, sejak meninggalkan hospital pada 29 Januari.- AFP