fb fb fb fb fb

Israel tuduh UNRWA menggaji lebih 450 'pengganas'

Seorang budak lelaki Palestin berdiri di luar rumahnya di sebelah kereta PBB yang rosak di Rafah, selatan Semenanjung Gaza/ AFP

GAZA, 5 Mac- Israel dan agensi bantuan utama Palestin saling menuduh mengenai keganasan dan penyeksaan terhadap orang awam selepas Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan supaya perang Israel-Palestin dihentikan segera.

Ketika negara pengantara di Kaherah meneruskan usaha ke arah gencatan senjata di Gaza, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) diserang semula Israel, yang menuduh pertubuhan itu menggaji lebih 450 pengganas.

UNRWA berada di Gaza untuk menyediakan bantuan kemanusiaan, susulan krisis kebuluran yang meningkat selepas hampir lima bulan perang antara Israel dan kumpulan pejuang Islam Hamas.

Israel sebelum ini menuduh kira-kira 12 pekerja UNRWA terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober.

Serangan di selatan Israel itu mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang, menurut angka rasmi AFP.

Sementara serangan balas Israel setakat ini meragut 30,534 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah diperintah Hamas.

Ketua UNRWA, Phillipe Lazzarini berkata, Israel tidak memberikan bukti yang menunjukkan bekas pekerjanya terbabit dalam keganasan.

Pada Isnin, agensinya, dalam satu kenyataan kepada AFP, berkata beberapa kakitangan UNRWA mendakwa mereka dilayan dengan buruk selain diseksa dan dipaksa untuk mengaku terbabit dalam serangan 7 Oktober lalu.

Lazzarini juga memberitahu Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada Isnin bahawa UNRWA akan membongkarkan perbuatan menghapuskan generasi kanak-kanak, menyemai benih kebencian, dan konflik pada generasi masa depan.

Laporan PBB pada Isnin menyatakan terdapat alasan munasabah untuk mempercayai jenayah rogol juga berlaku semasa serangan Hamas dan tebusan yang dibawa ke Gaza juga telah dirogol.

"Dalam kebanyakan kes, mangsa dirogol dan dibunuh, selain terdapat sekurang-kurangnya dua laporan berkaitan jenayah merogol mayat wanita," menurut laporan itu.

Sejurus sebelum laporan itu dikeluarkan, Israel berkata pihaknya memanggil pulang dutanya ke PBB sebagai bantahan terhadap apa yang dikatakannya sebagai percubaan oleh badan itu untuk 'menutup' maklumat keganasan seksual oleh Hamas.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menafikan cubaan menyekat laporan itu, sebaliknya memaklumkan bahawa ia sedang dibentangkan secara terbuka hari ini.

Kementerian Kesihatan Gaza pada Isnin berkata serangan terbaharu Israel menyaksikan pengeboman dan pertempuran membunuh 124 lagi orang dalam tempoh 24 jam.

Saksi melaporkan pertempuran sengit di kejiranan Zeitun di Kota Gaza dan bandar utama selatan Khan Younis turut menyaksikan pertempuran hebat.

Penduduk Khan Younis, yang cuba kembali ke rumah mereka, menemui banyak mayat mereput di jalanan manakala hampir kesemua rumah dan kedai telah dirobohkan. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI