fb fb fb fb fb

Putera Harry dan isterinya hilang rumah milik diraja

(Putera Harry dan isterinya Meghan / AFP)

LONDON, 1 Mac- Putera Harry dan isterinya Meghan telah diminta mengosongkan Frogmore Cottage, rumah di dalam kawasan estet King Charles's Windsor Castle yang mereka gunakan ketika berada di Britain, kata jurucakap pasangan itu pada Rabu.

Sebelum ini, akhbar The Sun melaporkan kediaman itu telah ditawarkan oleh raja kepada abangnya, Putera Andrew.

Keputusan Charles dibuat susulan pendedahan buruk pasangan itu mengenai bapa Harry, abangnya Putera William dan kerabat diraja lain dalam memoirnya baru-baru ini, menerusi dokumentari Netflix dan beberapa siri wawancara TV, kata tabloid itu.

"Kami boleh mengesahkan Duke dan Duchess of Sussex telah diminta untuk mengosongkan kediaman mereka di Frogmore Cottage," kata jurucakap Harry dan Meghan.

Putera Andrew, adik lelaki Raja Charles, terpaksa berhenti daripada peranan diraja kerana hubungannya dengan pesalah seks A.S. Jeffrey Epstein yang disabitkan kesalahan. Akhbar itu melaporkan bahawa Andrew mahu tinggal di rumahnya sekarang daripada berpindah ke Frogmore Cottage.

Istana Buckingham berkata ia tidak akan mengulas mengenai laporan itu. Sumber diraja berkata sebarang perbincangan sedemikian akan menjadi urusan keluarga peribadi.

Harry dan Meghan berpindah ke Frogmore Cottage di dalam kawasan estet Windsor Castle di sebelah barat London selepas perkahwinan mereka pada 2018.

Selepas berundur daripada tugas diraja pada 2020, mereka berpindah ke California untuk menempa kehidupan dan kerjaya baharu, tetapi Frogmore Cottage kekal sebagai pangkalan British mereka.

Pasangan itu juga bersetuju untuk membayar balik 2.4 juta pound (AS$2.9 juta) wang pembayar cukai yang dibelanjakan untuk mengubah suai kediaman tersebut.

Sepupu Harry, Eugenie, anak perempuan Andrew, dan suaminya diberi hak untuk mendiami hartanah tersebut selepas pasangan itu berhijrah ke Amerika Syarikat, tetapi akhbar The Sun berkata mereka telah berpindah.

Harry dan Meghan jarang pulang ke Britain sejak mereka berhijrah ke A.S., tetapi tetap mendiami Frogmore dalam setiap lawatannya ke britain, seperti untuk perayaan Jubli Platinum mendiang Ratu Elizabeth tahun lalu.

Hubungan antara pasangan itu dan ahli keluarga yang lain menjadi lebih renggang sejak itu, berikutan kritikan pedas terhadap kerabat diraja dan pembantu mereka dalam bukunya "Spare", yang memecahkan rekod jualan.

Perselisihan pendapat telah menimbulkan keraguan besar sama ada Harry akan menghadiri pertabalan bapanya pada bulan Mei. -AFP


(Putera Harry dan isterinya Meghan / AFP)

Media Baharu