fb fb fb fb fb

Pusat Data Nasional Indonesia diserang, penggodam tuntut RM37 juta

Grafik RTM

JAKARTA, 25 Jun - Ratusan pejabat pemerintah terjejas akibat serangan siber di Pusat Data Nasional Indonesia.

Serangan siber itu dipercayai dilakukan menggunakan satu perisian yang dibangunkan oleh perisian tebusan LockBit.

Keadaan itu menyebabkan operasi lapangan terbang di ibu kota tergendala.

Penggodam menuntut wang tebusan sebanyak AS$8 juta (RM37 juta).

Difahamkan, ramai penumpang beratur panjang di kaunter pelepasan imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, minggu lalu, selepas sistemnya diserang.

Pegawai dari Kementerian Komunikasi dan Maklumat, Semuel Abrijani Pangerapan berkata serangan itu telah menjejaskan 210 institusi pada peringkat nasional dan tempatan.

“Perkhidmatan Imigresen kembali normal pada pagi Isnin (24 Jun) dan pelbagai usaha sudah dijalankan untuk memulihkan perkhidmatan lain yang terjejas.

“Pihak berkuasa masih menyiasat perisian tebusan, dikenali sebagai Brain Cipher yang melumpuhkan akses kepada data pemerintah disebabkan penukaran data kepada bentuk kod sulit, jelasnya lagi.

LockBit dan anggota-anggota gabungannya sudah menyasarkan pemerintah, perusahaan besar, sekolah-sekolah dan hospital sehingga menyebabkan kerugian berbilion dolar serta mendapatkan wang tebusan berjuta dolar daripada mangsa.

Bulan lalu, Amerika Syarikat (AS), Britain dan Australia mengenakan sekatan terhadap Ketua LockBit yang dituduh memeras ugut berbilion dolar daripada beribu-ribu mangsa.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Kesatuan Eropah (EU)(Europol), lima negara yang paling kerap diserang LockBit ialah AS, Britain, Perancis, Jerman dan China.

Indonesia mempunyai rekod keselamatan siber yang lemah, dengan literasi dalam talian yang lemah dan serta kerap mengalami kebocoran data.

Pada tahun 2021 semasa pandemik COVID-19, penyelidik penyedia pengekodan vpnMentor mendedahkan maklumat 1.3 juta pengguna aplikasi ujian dan jejak kerajaan bocor.

Pendedahan itu dibuat beberapa bulan selepas lebih 200 juta peserta Badan Penjagaan Kesihatan Nasional dan Keselamatan Sosial (BPJS Kesihatan) didakwa dibocorkan oleh penggodam. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN