fb fb fb fb fb

Puluhan terkorban di Tebing Barat akibat serangan Israel

Foto AFP

GENEVA, 26 Februari- Puluhan terkorban sejak Israel memperluaskan operasi ketenteraannya di Tebing Barat, bulan lalu.

Menurut Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini pada Rabu, Tebing Barat kini menjadi medan perang.

"Lebih 50 orang, termasuk kanak-kanak, telah dilaporkan terbunuh sejak operasi tentera Israel bermula. Ini mesti dihentikan," katanya di platform X.

Tambahnya, kemusnahan infrastruktur awam di Tebing Barat semakin meluas, dengan jalan raya turut dirosakkan.

Kehidupan rakyat telah musnah, membawa kembali trauma dan kehilangan.

"Sekitar 40,000 orang terpaksa melarikan diri dari rumah mereka, terutama di kem pelarian di utara. Ketakutan, ketidaktentuan, dan kesedihan sekali lagi menyelubungi mereka.

"Dengan kem pelarian musnah, lebih 5,000 kanak-kanak yang bersekolah di institusi UNRWA kini terhalang daripada mendapatkan pendidikan, sesetengahnya sudah lebih 10 minggu.

"Pesakit tidak dapat menerima rawatan kesihatan, keluarga terputus bekalan air, elektrik, dan keperluan asas lain. Semakin ramai bergantung kepada bantuan kemanusiaan, pada saat agensi bantuan menghadapi tekanan dan kekurangan sumber yang kritikal," katanya.

Tentera Israel melancarkan serbuan besar-besaran terhadap pejuang Palestin di utara Tebing Barat lebih sebulan lalu, sejurus selepas gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza.

Israel telah menduduki Tebing Barat sejak 1967 dan sering menjalankan serbuan terhadap pejuang Palestin, tetapi serangan kali ini adalah yang paling berpanjangan dalam dua dekad.

Pada Ahad, Israel mengumumkan tenteranya akan kekal selama beberapa bulan di kem pelarian di utara Tebing Barat selepas puluhan ribu rakyat Palestin diusir akibat operasi ketenteraan yang semakin meningkat.

Sejak perang di Gaza bermula, serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 900 rakyat Palestin di Tebing Barat, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM