ROME, 22 Sept- Puluhan ribu orang berhimpun di seluruh Itali bagi mengecam pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis Israel di Gaza, Palestin, termasuk mengadakan mogok pengangkutan dan sekatan pelabuhan.
Demonstrasi berlaku pada hari sama ketika Perancis dan negara lain bersedia untuk mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York, berikutan pengiktirafan oleh UK, Australia dan Kanada.
Kerajaan Itali bawah kepimpinan Perdana Menteri Giorgia Meloni memaklumkan mereka tidak akan mengiktiraf negara Palestin buat masa ini.
Menurut polis tempatan, kira-kira 20,000 orang berkumpul di hadapan stesen kereta api utama Termini di Rom.
Peserta kebanyakannya pelajar, melaungkan "Bebaskan Palestin!" dan mengangkat bendera Palestin.
Ada yang berarak melalui Colosseum, memegang sepanduk gergasi tertera perkataan "Lawan Genosid. Mari halang segala-galanya."
Di bandar utara Milan, menurut penganjur, 50,000 orang hadir dengan penunjuk perasaan membakar bendera AS.
Di Bologna, lebih 10,000 turun ke jalan raya.
Demonstrasi turut diadakan di Turin, Florence, Naples dan Sicily.
Di Genoa dan Livorno, pekerja menyekat pintu masuk pelabuhan.
Tindakan mogok telah mengganggu perkhidmatan bas dan metro tempatan di Rom, manakala pengendali kereta api nasional memberi amaran tentang kelewatan dan pembatalan.
Kerajaan Meloni, yang secara ideologinya rapat dengan Presiden AS Donald Trump, mengecam serangan berterusan Israel ke atas wilayah Palestin yang terkepung.
Namun, Itali mengatakan bahawa mereka tidak menjual sebarang senjata kepada Israel sejak peristiwa 7 Oktober 2023.
Bagaimanapun, Itali tidak akan mengiktiraf negara Palestin buat masa ini dan engggan untuk melaksanakan cadangan sekatan perdagangan Kesatuan Eropah ke atas Israel.
Menurut tinjauan oleh syarikat pengundian Only Numbers baru-baru ini, hampir 64 peratus rakyat Itali menganggap situasi kemanusiaan di Gaza "sangat serius" manakala hampir 41 peratus mahu Itali mengiktiraf negara Palestin. -AFP