MANILA 22 Sept- Seramai 400,000 penduduk di bandar Shenzhen, China sedia dipindahkan susulan Taufan Super Ragasa dijangka melanda selatan negara itu, manakala penduduk di utara Filipina sedang mencari perlindungan daripada ribut berkenaan.
Menurut perkhidmatan cuaca Filipina, taufan itu mendarat di Pulau Calayan Filipina, membawa angin berkelajuan maksimum 215 kilometer sejam, dengan tiupan mencecah setinggi 295 kilometer sejam.
Ketua agensi berkenaan, Cagayan Rueli Rapsing memberitahu pasukannya bersedia untuk menghadapi kemungkinan terburuk.
Ketika ini, lebih 10,000 warga Filipina dipindahkan di seluruh negara, dengan sekolah dan pejabat kerajaan di wilayah Manila ditutup hari ini dan merentasi 29 wilayah lain.
Operasi yang lebih besar akan berlaku di Shenzhen China, yang menyaksikan pihak berkuasa merancang untuk memindahkan ratusan ribu orang dari kawasan pantai dan dataran rendah.
Beberapa bandar lain di wilayah Guangdong mengumumkan sekolah dan pejabat akan dibatalkan manakala pengangkutan awam digantung akibat taufan.
Di Hong Kong pula, Cathay Pacific yang berpangkalan di negara itu menjangkakan lebih 500 penerbangan dibatalkan kerana Ragasa mengancam hab kewangan itu.
Penerbangan masuk dan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong akan dihentikan mulai 6 petang esok dan disambung semula pada Khamis.
Di Taiwan, perkhidmatan cuaca negeri meramalkan kemungkinan "hujan lebat" melanda timur negara itu.
Menurut pegawai bomba tempatan, pemindahan sedang dijalankan di kawasan pergunungan berhampiran Pingtung.
“Apa yang lebih membimbangkan kami ialah kerosakan mungkin serupa dengan apa yang berlaku semasa Taufan Koinu dua tahun lalu,” katanya.
Ancaman banjir akibat Taufan Ragasa datang hanya sehari selepas beribu-ribu rakyat Filipina turun ke jalan raya untuk membantah skandal rasuah melibatkan projek kawalan banjir yang tidak pernah siap dibina.
Untuk rekod, Filipina dilanda purata 20 ribut dan taufan setiap tahun, meletakkan berjuta-juta orang di kawasan yang terdedah kepada bencana dalam keadaan kemiskinan berterusan.
Para saintis memberi amaran bahawa ribut menjadi lebih kuat apabila dunia semakin panas akibat kesan perubahan iklim yang didorong oleh perbuatan manusia. -AFP