MOSCOW, 22 September – Rusia mendakwa Ukraine bertanggungjawab terhadap serangan dron maut di Crimea pada Isnin, manakala Kiev pula melaporkan serangan Moscow telah meragut tiga nyawa di tenggara negara itu.
Ketua pentadbiran yang disokong Kremlin,
Sergey Aksyonov berkata tentera Ukraine menyasarkan bandar peranginan Foros, menyebabkan kerosakan pada kawasan sanatorium dan sebuah bangunan sekolah.
Katanya, serpihan dron yang ditembak jatuh turut mencetuskan kebakaran berhampiran bandar pesisir Yalta.
Kiev memaklumkan serangan udara Rusia semalaman di bandar selatan Zaporizhzhia membunuh tiga orang serta mencederakan dua lagi, seorang daripadanya parah.
Menurut ketua pentadbiran tentera wilayah itu, Ivan Fedorov, pasukan Rusia telah “menjatuhkan sekurang-kurangnya lima bom” ke atas bandar tersebut.
Rusia merampas Crimea pada 2014 dan mahu ia diiktiraf sebagai wilayahnya, dan mendakwa Ukraine terus menyerang kawasan itu termasuk jambatan utama ke tanah besar Rusia. - AFP
