PESHAWAR, 22 Sept- Sekurang-kurangnya 23 orang awam terbunuh dalam insiden pengeboman udara di wilayah sempadan terpencil di Khyber Pakhtunkwa, Pakistan, menurut polis dan sumber keselamatan.
Ahli Parlimen pembangkang menuduh tentera melakukan serangan pada waktu malam itu sebagai sebahagian daripada operasi memerangi keganasan, tetapi tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan atau angkatan tentera.
Kumpulan militan, Taliban Pakistan (TTP) dalam beberapa bulan kebelakangan ini meningkatkan kempen keganasan terhadap pasukan keselamatan di kawasan pergunungan di wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan itu.
"Pesawat pasukan keselamatan telah melakukan tembakan, membunuh 23 orang," kata Iqbal Afridi, ahli pembangkang Dewan Negara selepas kawasannya di Tirah menjadi serangan terbabit.
Ahli Parlimen wilayah, Sohail Khan Afridi turut menyalahkan pihak tentera.
“Serangan oleh pasukan keselamatan ini menyasarkan orang awam yang tidak bersenjata,” katanya.
Seorang pegawai kanan polis yang ditempatkan di bandar Tirah pula memberitahu bahawa tujuh wanita dan empat kanak-kanak adalah antara 23 yang maut, tanpa menyatakan pelaku serangan terbabit.
“Jet pejuang menyasarkan empat rumah yang musnah sama sekali,” katanya yang enggan dikenali.
Tirah terletak berhampiran sempadan Pakistan-Afghanistan dan menempatkan beberapa tempat persembunyian TTP.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat beberapa serangan terhadap pasukan keselamatan di kawasan itu.
Seorang pegawai keselamatan yang berpangkalan di Peshawar, yang mengesahkan jumlah kematian berkata, terdapat berpuluh-puluh tempat persembunyian TTP di kawasan tempat tinggal militan bersama keluarga mereka.
Dia juga enggan menyatakan pelaku melakukan serangan itu.
Pada petang Isnin, kira-kira 2,000 orang berkumpul di bandar berdekatan untuk mengecam serbuan maut berkenaan. -AFP