fb fb fb fb fb

Puluhan ribu orang hadir perhimpunan kempen akhir Pilihan raya Presiden Indonesia

Calon presiden, Prabowo Subianto bersama penyokong semasa perhimpunan di Jakarta/AFP

JAKARTA, 10 Februari- Berpuluh-puluh ribu orang hadir perhimpunan kempen terakhir Pilihan raya Presiden Indonesia pada hari Sabtu, beberapa hari sebelum pengundian untuk menggantikan penyandang Joko Widodo di negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Hampir 100,000 orang dijangka memenuhi stadium utama ibu kota Jakarta untuk perhimpunan menyokong Prabowo Subianto, manakala lebih 80,000 hadir untuk saingan Anies Baswedan di stadium lain.

Subianto merupakan Menteri Pertahanan Indonesia dan bekas jeneral, bertanding untuk kali ketiga, dilaporkan sedang mendahului dua pesaingnya, Anies dan bekas Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo.

Jalan-jalan di Jakarta sesak dengan kumpulan motosikal dan kereta yang menuju ke perhimpunan berkenaan.

“Kami mahu melihat perubahan,” kata Endang Pujiati, seorang pesara guru yang memandu berjam-jam untuk menghadiri perhimpunan Anies.

"Anies seorang yang boleh dipercayai, sebab itu dia boleh menjadi pemimpin yang baik", katanya.

Menurut seorang wartawan AFP, pintu masuk ke stadium di Jakarta utara, lokasi Anies berucap kepada penyokongnya menjadi begitu sesak sehingga beberapa orang pengsan. Ramai yang telah berkhemah semalaman untuk acara tersebut.

Subianto mengadakan dua acara pada hari Sabtu iaitu di Semarang dan Surakarta.

Jurucakap kempen Subianto memberitahu pemberita bahawa kehadiran orang ramai untuk perhimpunan adalah di luar jangkaan pasukan kempen kebangsaan, sambil menambah bahawa kebanyakan stadium telah penuh beberapa jam sebelum acara itu bermula.

Bekas jeneral berusia 72 tahun itu berkempen dengan ikrar untuk membasmi kemiskinan tegar, menyediakan makanan sekolah percuma kepada kanak-kanak dan susu kepada wanita hamil dan meneruskan usaha pembangunan Presiden Jokowi.

Lebih 204 juta rakyat Indonesia akan memilih presiden, ahli parlimen dan beribu-ribu pegawai tempatan pada 14 Februari.

Proses pengundian akan dilaksanakan di lebih 800,000 pusat mengundi di seluruh negara Indonesia.-AFP

ROSLINA BINTI DIN