GAZA, 10 Februari - Serangan berterusan tentera Israel ke atas bandar Rafah di selatan Gaza memberi bayangan situasi yang amat 'membimbangkan', kata Ketua Dasar Luar EU Josep Borrell, semalam.
Borrel berkata 1.4 juta rakyat Palestin yang kini berada di Rafah tidak mempunyai tempat yang selamat untuk dituju selain berdepan dengan kebuluran.
Rafah adalah pusat penduduk utama terakhir di Semenanjung Gaza yang masih belum dimasuki oleh tentera Israel.
Lebih 2.2 juta penduduk berlindung di Rafah selepas kebanyakan penduduk Palestin berpindah dari bandar yang terkesan dengan serangan Israel.
"Laporan serangan tentera Israel ke atas Rafah membimbangkan," katanya menerusi hantaran di X (Twitter).
Katanya, serangan tentera Israel akan memberi kesan yang lebih buruk terhadap keadaan semasa yang mana hal-hal kemanusiaan melibatkan orang awam sudah tidak tertanggung.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera bersiap sedia untuk memindahkan ratusan ribu rakyat Palestin dari Rafah di Gaza.
Dalam satu kenyataan, Netanyahu memberitahu pegawai tentera dan keselamatan untuk menyerahkan kepada Kabinet mengenai rancangan gabungan untuk memindahkan penduduk dan memusnahkan batalion pejuang Hamas yang bersembunyi di Rafah.
Angka kematian warga Palestin akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu meningkat kepada 27,947 orang.
Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak dan wanita. - AFP