MANILA, 10 Februari- Gempa bumi kuat di selatan Filipina pada Sabtu menyebabkan operasi mencari berpuluh-puluh mangsa yang dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Masara, Filipina ditangguhkan, selain memaksa pasukan penyelamat mengosongkan kawasan tersebut.
Gempa berukuran 5.8 magnitud menggegarkan wilayah Mindanao pada pukul 11:22 pagi (0322 GMT), kira-kira 150-kilometer daripada kawasan bencana. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan setakat ini.
Pasukan penyelamat juga diarah menghentikan pencarian mangsa di perkampungan perlombongan emas terpencil di Masara.
Insiden tanah runtuh tersebut menyebabkan terminal bas dan 55 buah rumah berhampiran lombong emas tertimbus. Mengikut data yang dikemas kini, angka korban adalah seramai 28 orang, kebanyakannya adalah pelombong, selain 32 orang dilaporkan cedera.
Ratusan penyelamat sedang mencari sekurang-kurangnya 77 orang yang masih hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan yang berkeluasan 8.9 hektar (22 ekar) di lokasi berkenaan.
"Kami mengarahkan mereka (penyelamat) untuk pergi ke kawasan yang lebih selamat," kata pegawai Apex Mines Ferdinand Doble pada sidang akhbar.
"Usaha menyelamat tidak diteruskan, dron diterbangkan untuk memeriksa tanda-tanda potensi tanah runtuh seterusnya, yang boleh membahayakan nyawa penyelamat", katanya.
Semalam, pasukan penyelamat menemukan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang masih hidup, walaupun tertimbus hampir 60 jam.
"Kami masih berharap untuk menyelamatkan lebih ramai orang walaupun selepas empat hari," kata Ketua Bencana Wilayah Davao de Oro Randy Loy memberitahu sidang akhbar itu.
"Bagaimanapun, kami tidak jamin peluang mereka untuk terus hidup selepas 48 jam", katanya.
Hujan berterusan melanda Mindanao selama berminggu-minggu, mencetuskan banyak kejadian tanah runtuh dan banjir yang telah memaksa berpuluh-puluh ribu orang ke tempat perlindungan.
Gempa bumi besar juga telah menjejaskan kestabilan rantau ini sejak beberapa bulan kebelakangan ini.-AFP