fb fb fb fb fb

Puluhan ribu orang terkorban, jika Israel serang Rafah- Hamas

Serangan Israel di Khan Yunis, selatan Gaza/AFP

GAZA, 10 Februari- Hamas memberi amaran kemungkinan berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin terkorban dan cedera, jika tentera Israel menyerang Rafah, yang terletak di bahagian selatan Gaza.

Hamas menerusi kenyataan berkata bahawa sebarang tindakan ketenteraan Israel akan memberikan kesan buruk yang boleh membawa kepada puluhan ribu kematian sekiranya Rafah terus diceroboh.

Kumpulan pejuang itu menyifatkan pentadbiran Amerika, masyarakat antarabangsa dan pendudukan Israel bertanggungjawab jika serangan tersebut berlaku.

Rafah terletak di selatan Gaza, bersempadan dengan Mesir menjadi lokasi perlindungan terakhir bagi orang awam yang melarikan diri daripada kempen pengeboman berterusan Israel di Gaza.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu minggu ini berkata beliau telah mengarahkan tenteranya bersiap sedia untuk masuk ke bandar itu, yang kini sesak dengan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal. Netanyahu mengarahkan pegawai tenteranya mengatur rancangan memusnahkan pejuang Hamas di bandar itu.

Pengumuman itu menimbulkan kebimbangan daripada kerajaan asing termasuk Amerika Syarikat dan agensi bantuan yang bergelut dengan krisis kemanusiaan yang semakin meningkat di Gaza.

Saksi melaporkan serangan baharu ke atas Rafah pada awal pagi Sabtu, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin mengenai pencerobohan Israel yang semakin hampir.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkata kira-kira sebahagian daripada 2.4 juta penduduk Gaza kini berlindung di bandar itu dan ramai yang tidur di khemah dan tempat perlindungan sementara.

Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini berkata serangan besar-besaran Israel di Rafah membawa 'tragedi yang tidak berkesudahan'.-AFP

ROSLINA BINTI DIN