LAHORE, 5 Oktober - Ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin berhimpun di bandar Lahore, Pakistan, bagi mengecam tindakan tentera Israel memintas Global Sumud Flotilla (GSF).
Peserta turut mengutuk pelan damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang disifatkan berat sebelah terhadap Gaza.
Perhimpunan anjuran Jamaat-e-Islami Pakistan (JI) itu disertai aktivis, pelajar dan pemimpin politik yang melaungkan solidariti kepada aktivis flotila kemanusiaan yang kini ditahan rejim Zionis selepas misi mereka ke Gaza dihalang di perairan antarabangsa.
“Global Sumud Flotilla kini berada di bawah tahanan Israel. Kami menuntut pembebasan segera mereka yang tidak bersenjata dan hanya mahu menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza,” kata pemimpin JI Pakistan ketika berucap di hadapan ribuan penyokong.
Sebanyak 42 kapal flotila yang membawa lebih 400 aktivis dari pelbagai negara, termasuk ahli politik dan tokoh alam sekitar Sweden Greta Thunberg, ditahan dalam operasi selama 12 jam dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod untuk siasatan.
Penganjur flotila menyifatkan tindakan itu sebagai pencerobohan haram terhadap misi kemanusiaan yang membawa ubat-ubatan dan bekalan penting kepada rakyat Gaza yang berdepan kebuluran.
Media antarabangsa melaporkan lebih 470 peserta flotila ditahan, termasuk 20 wartawan daripada pelbagai agensi seperti El Pais (Sepanyol), RAI (Itali) dan Al Jazeera (Qatar).
Pertubuhan Reporters Without Borders (RSF) mengecam penahanan itu dan menyifatkannya sebagai “pelanggaran serius terhadap hak untuk menyampaikan maklumat.”
Menurut data Kementerian Kesihatan Gaza yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), lebih 66,000 rakyat Palestin telah terbunuh sejak Israel melancarkan serangan balas pada 2023.
Semalam, 137 aktivis dari 13 negara termasuk 23 delegasi Malaysia dan 36 rakyat Turkiye telah dibebaskan sebelum diterbangkan ke Istanbul. -AFP