fb fb fb fb fb

Puluhan ribu berarak kutuk keganasan terhadap wanita

Belasan ribu penunjuk perasaan berarak di Paris / AFP

PARIS, 26 November- Beribu-ribu penunjuk perasaan berarak di Perancis pada Sabtu mengutuk keganasan terhadap wanita.

Kebanyakannya mengenakan pakaian ungu, warna yang dikaitkan dengan wanita dan kesaksamaan jantina.

Penunjuk perasaan memenuhi jalanan dalam cuaca sejuk di Paris dan bandar-bandar lain, sambil membawa papan tanda bertulis: "Satu rogol setiap enam minit di Perancis" dan "Lindungi gadis anda, didik anak lelaki anda".

"Kami tidak mahu mengira orang mati lagi," kata Maelle Lenoir, seorang pegawai daripada kumpulan aktivis All of Us, memberitahu pemberita, menggesa kerajaan untuk menumpukan lebih banyak wang dalam membasmi keganasan terhadap wanita.

Perancis telah merekodkan sebanyak 121 kes pembunuhan wanita setakat tahun ini, berbanding 118 pada 2022, menurut data kerajaan.

"Keganasan berterusan terhadap wanita tidak dapat dielakkan," kata Presiden Emmanuel Macron dalam video yang disiarkan di media sosial pada Sabtu.

"Kita mesti menamatkannya dan kita akan lakukan".

Perarakan itu menghimpunkan 80,000 orang di Paris, menurut penganjur. Polis kemudiannya menjumlahkan kesemua peserta perarakan di seluruh negara kepada 16,500.

Salah seorang peserta perarakan di Strasbourg, Leonore Maunoury, 22, berkata sistem keadilan perlu diubah untuk menangani fenomena itu secara berkesan.

"Keganasan seksual sukar dibuktikan. Banyak kes ditolak. Sistem keadilan tidak perlu diperhalusi untuk menangani isu itu," katanya.

Di Guatemala, penunjuk perasaan mula berarak sejak petang Jumaat, meletakkan lilin untuk menulis 438, jumlah wanita yang terbunuh setakat tahun ini.

Di ibu kota Chile, Santiago, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan berarak di jalan raya pada malam Jumaat, melaungkan "Tidak satu langkah ke belakang" dan menuntut tindakan kerajaan untuk melindungi wanita.

Sementara itu di sepanjang Pantai Copacabana yang terkenal di Rio de Janeiro, penunjuk perasaan menyusun sebanyak 722 pasang kasut wanita, setiap pasang mewakili pembunuhan wanita yang direkodkan pada 2022.

Ia merupakan jumlah tertinggi sejak 2019, menurut agensi bukan kerajaan mengenai keselamatan awam, Forum Brazil.

Di Argentina, penunjuk perasaan termasuk mereka yang bimbang dengan pemilihan presiden yang akan datang Javier Milei -- di Buenos Aires menggabungkan bantahan terhadap keganasan terhadap wanita dengan menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin.

Terdahulu, Milei bercadang untuk menghapuskan Kementerian Wanita, Jantina dan Kepelbagaian dan telah mengambil sikap tegas dalam beberapa isu termasuk pengguguran bayi dan gaji setara.

Di Itali, yang telah digemparkan dengan pembunuhan seorang pelajar universiti berusia 22 tahun oleh bekas teman lelakinya menyaksikan kira-kira 50,000 orang berdemonstrasi di Rom, di mana Colosseum dinyalakan dengan warna merah.

Negara itu dikejutkan dengan kes Giulia Cecchettin, yang hilang selama seminggu ketika dia sedang dalam persiapan untuk majlis konvokesyen, menerima ijazah dalam kejuruteraan bioperubatan dari Universiti Padua.

Mayatnya akhirnya ditemui dalam lurah kira-kira 120 kilometer (75 batu) di utara Venice, dan bekas teman lelakinya, Filippo Turetta, 22 tahun, telah ditangkap di Jerman.

Manakala di Turki, kira-kira 500 wanita berkumpul di daerah Sisli, membentangkan sepanduk bertulis "Kami tidak akan berdiam diri" dan "Wanita bersatu dan berjuang menentang keganasan negara lelaki."

Penunjuk perasaan turut turun ke jalan raya di Ankara.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE