fb fb fb fb fb

Puluhan mayat ditemukan dalam kubur tidak bertanda di Mexico

(Ratusan ahli keluarga orang hilang di Mexico mengadakan
demonstrasi di Guadalajara pada 16 Julai 2023/Foto AFP)

MEXICO CITY, 18 Julai- Pencarian puluhan ribu orang yang hilang di Mexico sejak beberapa dekad kebelakangan ini telah menemukan 24 kubur tidak bertanda di negeri Tamaulipas.

Jurucakap Keselamatan Tamaulipas, Jorge Cuellar berkata 11 kubur ditemukan di Reynosa, sebuah bandar berhampiran sempadan dengan Amerika Syarikat dan dianggarkan mengandungi 22 mayat.

"Kebanyakan tulang yang ditemui dianggarkan telah tertanam antara 10 dan 14 bulan lalu," katanya kepada akhbar Milenio.

Negeri Tamaulipas di utara adalah antara kawasan di negara itu yang dilanda jenayah terancang.

Mexico telah merekodkan lebih daripada 110,000 kes kehilangan orang, majoriti dikaitkan dengan organisasi jenayah sejak 1962.

Ia juga telah mencatatkan lebih 350,000 pembunuhan sejak pelancaran serangan anti-dadah yang kontroversi melibatkan tentera pada Disember 2006.

Tamaulipas merupakan kawasan yang kerap berlaku perbalahan antara kumpulan jenayah terancang yang bergelut dengan laluan pengedaran dadah.

Pada bulan Mac lalu, empat rakyat Amerika telah diculik di bandar Matamoros oleh pengedar dadah yang disyaki.

Dengan kira-kira 13,000 kes di dalam rekod, Tamaulipas mempunyai jumlah kedua tertinggi orang hilang selepas negeri Jalisco, yang mempunyai hampir 15,000 kes.-AFP

(Foto Hiasan)

Media Baharu