fb fb fb fb fb

Presiden Korea Selatan gesa sistem tindak balas bencana dirombak

(Kerja-kerja pembersihan diteruskan di Korea Selatan/Foto Reuters)

SEOUL, 18 Julai- Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menggesa pegawai untuk menggerakkan semua sumber yang ada bagi mempercepat kerja pemulihan.

Menyifatkan situasi semasa yang berlaku kini sebagai 'kecemasan', perkara itu dinyatakan beliau pada mesyuarat Kabinet hari ini.

Yoon turut menggesa sistem tindak balas bencana di negara itu dirombak.

"Kita perlu mengubah asas sistem pengurusan bencana dan kaedah tindak balas kita. Perubahan iklim menyebabkan bencana alam yang melampau.

"Kita perlu mewujudkan sistem pemantauan digital yang boleh berfungsi secara sistematik pada waktu biasa. Kerajaan pusat dan kerajaan tempatan perlu bekerjasama di peringkat nasional, dan pakar harus terlibat," katanya.

(Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol/Foto Reuters)

Ketika ini, kerja-kerja pemulihan diteruskan di Korea Selatan, selepas hujan lebat turun selama beberapa hari.

Lebih 40 orang dilaporkan terbunuh dalam tempoh kurang seminggu akibat kejadian berkaitan hujan lebat di negara itu.

Ini termasuk 14 yang maut apabila air banjir memerangkap mereka di jalan bawah tanah di bandar Cheongju, menimbulkan keraguan terhadap usaha negara itu untuk bersiap sedia menghadapi hujan lebat yang lebih kerap.

Setahun selepas Korea Selatan berikrar meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi cuaca ekstrem yang didorong oleh perubahan iklim, pakar menyifatkan usaha itu masih belum mencukupi.-REUTERS

Media Baharu