BEIJING, 11 Februari- Kerajaan tempatan China digesa mengambil langkah berani untuk mengurangkan kos melahirkan dan membesarkan anak.
Tindakan itu bagi mengurangkan beban keluarga dan meningkatkan kesuburan.
Cadangan itu dikemukakan Suruhanjaya Kesihatan China (NHC) selepas populasi penduduk negara itu jatuh buat kali pertama tahun lalu dalam tempoh enam dekad.
Jumlah tersebut diperoleh berdasarkan data dikeluarkan bulan lalu yang menunjukkan perubahan bersejarah.
Menurut NHC, ia dilihat sebagai petanda permulaan tempoh kemerosotan yang panjang.
Selain itu, prospek penduduk warga emas yang meningkat turut memperlahankan ekonomi.
Ia disebabkan pendapatan yang menurun dan hutang kerajaan meningkat kerana kos kesihatan dan kebajikan yang melambung tinggi.
(FOTO AFP)
Jelas NHC lagi, kebimbangan mengenai wang dan pembangunan kerjaya dalam kalangan wanita menjadi faktor utama orang ramai memilih untuk tidak mempunyai anak.
China selama beberapa dekad melaksanakan dasar satu anak dari 1980 hingga 2015 untuk mengawal populasinya.
Bagaimanapun populasi itu kini mula mengecil dan India diramal bakal menjadi negara paling ramai penduduk di dunia.
Bagi mengatasi masalah tersebut, beberapa langkah telah diambil dengan menawarkan insentif dan bantuan kepada pasangan untuk membina keluarga.-AFP