fb fb fb fb fb

PRU2025 Singapura: 53 calon wanita, tertinggi dalam sejarah

Foto AFP

SINGAPURA, 2 Mei- Penyertaan wanita dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025) mencapai rekod tertinggi baharu, dengan 53 calon wanita bertanding berbanding 40 pada PRU2020.

Ini merupakan bilangan calon wanita tertinggi dalam sejarah pilihan raya republik itu, menurut statistik komprehensif yang diperoleh daripada halaman multimedia The Straits Times bertajuk, “GE2025: Who’s standing where in Singapore’s general election?”

Walaupun terdapat peningkatan, wanita hanya mewakili kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan senarai calon, menonjolkan kemajuan serta jurang yang masih wujud dalam aspek perwakilan gender.

Calon wanita itu datang daripada pelbagai latar belakang profesional, dengan bidang perniagaan dan undang-undang muncul sebagai yang paling lazim.

Beberapa calon turut membawa kepakaran daripada sektor perkhidmatan sosial dan media, mencerminkan kepelbagaian yang semakin meluas dalam pengalaman yang diwakili.

Antaranya ialah Alexis Dang, pengarah kanan di firma teknologi pengiklanan global Teads, yang bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Punggol.

Penyertaan beliau dalam arena politik mencerminkan kehadiran semakin ramai profesional daripada sektor bukan tradisional.

Secara keseluruhan, PRU2025 memperlihatkan gabungan kesinambungan dan perubahan dalam profil calon.

Walaupun sektor tradisional seperti undang-undang, perniagaan dan perkhidmatan awam masih mendominasi, terdapat peralihan ketara ke arah perwakilan yang lebih luas, termasuk calon daripada industri baharu dan latar belakang kurang konvensional.

Evolusi itu menandakan landskap politik yang semakin matang dan mencerminkan kepelbagaian masyarakat serta tenaga kerja Singapura.

Seramai 211 calon akan bertanding dalam PRU2025 Singapura. -- BERNAMA

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI