fb fb fb fb fb

Protes vaksin COVID-19: Lebih ramai penunjuk perasaan banjiri bandar utama Kanada

FOTO AFP

OTTAWA, 6 Februari- Lebih ramai penunjuk perasaan membanjiri jalan raya dan bandar lain di Kanada, mendesak kerajaan supaya menarik balik arahan mewajibkan vaksin COVID-19.

Bantahan yang memasuki minggu kedua itu juga sebagai protes terhadap sekatan yang dilaksana bagi membendung pandemik itu.

Di ibu negara, penunjuk perasaan berkumpul di sekitar unggun api dalam keadaan suhu sejuk melampau.

Sauna mudah alih dan istana belon untuk kanak-kanak juga dibina di luar bangunan parlimen sambil penunjuk perasaan mengibarkan bendera Kanada dan melaungkan slogan antikerajaan.

Bagaimanapun, laungan "kebebasan" itu dibalas dengan jeritan "pulang" daripada sekumpulan kecil pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan penunjuk perasaan itu.

Demonstrasi, yang bermula dengan bantahan daripada pemandu lori terhadap keperluan vaksin untuk merentasi sempada Kanada-Amerika Syarikat (AS) telah berubah menjadi protes yang lebih meluas terhadap sekatan kesihatan COVID-19.

Polis telah memasang penghadang jalan untuk menyekat akses kenderaan ke pusat bandar selepas ribuan penunjuk perasaan termasuk dua yang menunggang kuda menyertai kumpulan pemandu lori merempuh masuk jalan raya di Ottawa.

Bantahan sama turut berlaku di hampir setiap bandar utama di Kanada termasuk Toronto dan Winnipeg. -AFP

Media Baharu