fb fb fb fb fb

Protes pro-Palestin di universiti, Biden mahu keamanan, pematuhan undang-undang diutamakan

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden / Foto AFP

WASHINGTON, 3 Mei - Selepas berminggu-minggu kampus di Amerika Syarikat (AS) berdepan situasi tegang susulan pelajar yang membantah peperangan Israel dengan Hamas di Gaza, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akhirnya bersuara agar keamanan serta pematuhan undang-undang diutamakan.

Biden mula bersuara beberapa jam selepas ratusan polis membongkar khemah yang didirikan dalam kampus University of California, Los Angeles (UCLA) dan menahan puluhan penunjuk perasaan.

Biden menekankan bahawa unsur anti-Semitik atau ancaman keganasan terhadap pelajar Yahudi, 'tiada tempat' di negara itu mahupun mana-mana kampus universiti di Amerika.

Penunjuk perasaan berkumpul di sekurang-kurangnya 40 kampus universiti Amerika sejak bulan lalu bagi membantah serangan Israel ke atas Gaza yang mengakibatkan angka kematian terus melonjak.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 2,000 orang telah ditangkap sejak protes pro-Palestin tercetus di negara itu pada pertengahan April lalu.

Semuanya bermula apabila penuntut di Universiti Columbia New York menuntut Biden menarik sokongan dan bantuan kepada Israel dalam perang di Gaza.

Sehingga kini, protes berkaitan isu tersebut telah merebak ke universiti-universiti utama seluruh Amerika Syarikat dan Kanada.

Situasi tersebut turut menyebabkan aktiviti harian di kampus terganggu.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN