TORONTO, 3 Mei - Protes pro-Palestin membabitkan pelajar kini merebak ke Kanada, Australia dan Britain. Tunjuk perasaan berkenaan mula tercetus di Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda solidariti terhadap nasib penduduk Palestin.
Di Kanada, pentadbir Universiti Toronto digesa menamatkan kerjasama dan memindahkan aset yang menyokong perang Israel di Gaza.
Marah, kecewa dan simpati diluahkan terhadap nasib golongan pelajar di Palestin yang tidak dapat menamatkan pengajian selepas universiti mereka hancur dibedil rejim.
Bantahan yang sama turut tercetus di Montreal dan Vancouver.
Sementara itu di Australia, ratusan pelajar berkumpul di beberapa lokasi tumpuan di Universiti Sydney.
Situasi sedikit tegang berikutan berlaku pertembungan melibatkan aktivis pro-Palestin dengan golongan pro-Israel yang menganjurkan tunjuk perasaan di kawasan berhampiran.
Di Britain, para aktivis, pelajar juga berhimpun di beberapa universiti utama negara itu.
Terdapat video tular berlaku kekecohan di Universiti Newcastle selepas penunjuk perasaan bertindak memasang khemah dan sepanduk pro-Palestin di kawasan universiti.
Universiti menjadi pentas untuk ekspresi politik mengenai konflik Israel-Hamas yang berterusan.-AFP