fb fb fb fb fb

Protes Mahsa Amini: PBB gesa Iran tidak guna kekerasan

(Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres berucap
pada sesi ke-77 Perhimpunan Agung PBB di New York City/ REUTERS)

NEW YORK, 24 September- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres merayu supaya pasukan keselamatan Iran mengelak daripada menggunakan 'kekerasan yang tidak perlu atau tidak seimbang' terhadap protes anti kerajaan yang tercetus akibat kematian seorang wanita dalam tahanan polis.

Beliau juga menggesa semua pihak supaya bertahan bagi mengelak situasi yang lebih buruk, kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric.

"Kami bimbang mengenai laporan protes aman yang berdepan tindakan kekerasan berlebihan dan membawa kepada puluhan kematian dan kecederaan.

"Kami seterusnya menyeru pihak berkuasa untuk menghormati hak kebebasan bersuara, perhimpunan aman dan berpersatuan," kata Dujarric kepada pemberita di New York.

Dujarric berkata, Guterres membangkitkan isu hak asasi manusia ketika bertemu Presiden Iran, Ebrahim Raisi di luar perhimpunan tahunan pemimpin dunia di PBB.

Kemarahan rakyat Iran berpunca daripada kes Mahsa Amini, 22, yang meninggal dunia minggu lalu selepas ditahan polis moral Iran kerana memakai 'pakaian tidak sesuai'.

Dujarric berkata, Guterres menggesa 'siasatan segera, tidak berat sebelah dan berkesan oleh pihak berkuasa yang cekap serta bebas' terhadap kematian Mahsa.

Selain itu, badan dunia berkenaan juga menggesa pihak berkuasa Iran untuk menghormati hak wanita dan melaksanakan langkah berkesan bagi melindungi mereka daripada pencabulan hak asasi manusia yang lain.


(Penunjuk perasaan turun ke jalan di ibu negara Tehran ketika protes untuk Mahsa Amini,
beberapa hari selepas wanita itu meninggal dunia dalam tahanan polis/ AFP)

Rakaman video yang tersebar memaparkan penunjuk perasaan meluangkan kata-kata termasuk 'wanita, kehidupan, kebebasan' ketika Iran berdepan gelombang demonstrasi terbesar dalam tempoh hampir tiga tahun.

Sebilangan penunjuk perasaan wanita turut membakar tudung mereka di jalanan, malah ada yang menggunting rambut simbolik bantahan terhadap kod pakaian di Iran.

Secara umum, kod pakaian di Iran menetapkan wanita perlu memakai hijab dan pakaian longgar dengan baju berlengan panjang ketika berada di khalayak ramai atau tempat awam. - REUTERS

Media Baharu