fb fb fb fb fb

Taufan Fiona landa Kanada selepas Bermuda, wilayah Nova Scotia berjaga-jaga

(FOTO AFP)

MONTREAL, 24 September - Taufan Fiona melanda Kanada pada Jumaat dengan wilayah Nova Scotia dalam keadaan berjaga-jaga selepas ia melanda Bermuda, menyebabkan sebahagian besar penduduk terputus bekalan elektrik dan berlaku sedikit kerosakan.

Pusat Taufan Kebangsaan AS berkata Taufan Fiona sedang membawa angin berkelajuan hampir 125 batu (205 kilometer) sejam dan dijangka berlaku ribut yang kuat.

"Ia pastinya akan menjadi peristiwa yang bersejarah dan ekstrem untuk Kanada Timur," kata Bob Robichaud, ahli meteorologi Pusat Taufan Kanada kepada pemberita.

"Ia adalah taufan besar, semuanya terperangkap dalam ribut, jadi sangat sukar untuk sesuatu seperti itu akan reda."

Dalam buletin terbaharunya, CHC menyifatkan ribut itu sebagai 'peristiwa teruk' yang akan mempengaruhi Atlantik Kanada dan timur Quebec dengan hujan lebat dan angin kuat taufan kuat bermula malam ini.


(Foto ihsan Tentera Udara AS, anak kapal udara Skuadron Peninjau Cuaca ke-53 dari Pangkalan
Tentera Udara Keesler, Missouri, menerbangkan misi pengumpulan data Taufan Fiona dari
St. Croix, Kepulauan Virgin AS pada 22 September 2022/AFP)

Pihak berkuasa di Nova Scotia mengeluarkan amaran kecemasan melalui telefon, mengatakan kemungkinan bekalan elektrik terputus dan orang ramai perlu kekal di rumah dengan bekalan yang mencukupi sekurang-kurangnya 72 jam.

Perdana Menteri Justin Trudeau menyifatkan ribut itu sebagai sesuatu yang buruk, sambil menambah ia boleh memberi kesan yang ketara di seluruh rantau ini.

Bermuda sebelum ini menyeru penduduk untuk kekal di rumah ketika angin kencang melanda wilayah Britain, tetapi tiada kematian atau kerosakan besar dilaporkan ketika Taufan Fiona melalui kira-kira 100 batu ke barat pulau itu. -AFP

Media Baharu