GENEVA, 1 September – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan terhadap dakwaan penggunaan kekerasan melampau oleh pasukan keselamatan Indonesia, susulan protes yang mengorbankan enam nyawa.
Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani berkata pihaknya sedang memantau rapat perkembangan insiden keganasan di Indonesia, susulan bantahan besar-besaran yang tercetus di seluruh negara berhubung isu elaun ahli parlimen, langkah penjimatan kerajaan, serta dakwaan penggunaan kekerasan yang melampau oleh pasukan keselamatan.
“Kami menekankan kepentingan dialog untuk menangani kebimbangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
PBB menyeru agar siasatan dijalankan segera, telus dan menyeluruh terhadap semua dakwaan pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, termasuk berkaitan penggunaan kekerasan oleh pasukan keselamatan.
Ravina turut menegaskan bahawa semua pasukan keselamatan, termasuk tentera apabila dikerahkan bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang, mesti mematuhi prinsip asas penggunaan kekerasan dan senjata api yang digariskan bagi pasukan polis.
“Pihak berkuasa mesti menegakkan hak untuk berhimpun secara aman dan kebebasan bersuara sambil mengekalkan ketenteraman, selaras dengan norma dan piawaian antarabangsa, berhubung dengan kepolisan perhimpunan awam,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kebebasan media untuk melaporkan peristiwa secara bebas dan tanpa sekatan.
Siri demonstrasi yang pada mulanya berlangsung secara aman bertukar tegang selepas tersebarnya rakaman video yang memaparkan anggota unit elit polis separa tentera melanggar seorang pemandu penghantaran lewat malam Khamis.
Gelombang bantahan tersebut merebak dari Jakarta ke beberapa bandar utama lain, menjadikannya antara krisis awam paling serius sejak Presiden Prabowo Subianto mengambil alih tampuk pemerintahan negara kurang setahun lalu.- AFP