BARCELONA, 2 September - Misi flotila melibatkan puluhan bot membawa bantuan untuk Gaza berlepas dari pelabuhan di sini selepas tergendala dan berpatah balik akibat ribut.
Beberapa bot Misi Global Sumud Flotila membunyikan hon ketika mereka meninggalkan pelabuhan.
"Bebaskan, bebaskan Palestin," laungan beberapa aktivis di pelabuhan.
Ramai peserta terlibat menjayakan misi berkenaan termasuk aktivis iklim Greta Thunberg dan pelakon Game of Thrones Liam Cunningham.
Puluhan bot berlepas ke Gaza dalam usaha memecahkan sekatan tentera rejim Israel bagi tujuan menghantar bekalan makanan dan kemanusiaan, yang telah terputus akibat perang hampir dua tahun.
Pihak Zionis memberikan alasan sekatan dikenakan sejak 2007 hanya bertujuan menyekat kemasukan senjata yang cuba diseludup kepada kumpulan Hamas.
Terdahulu, media melaporkan misi berkenaan disertai lebih 1,000 individu dari 44 negara, termasuk 15 wakil Malaysia.