KABUL, 2 September - Lebih 800 mangsa terkorban dan sekurang-kurangnya 2,800 cedera akibat gempa bumi di Afghanistan.
Pihak berkuasa memaklumkan pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk sampai ke kawasan terpencil berikutan kawasan pergunungan dan cuaca buruk.
Bencana itu memburukkan lagi sumber terhad negara bergolak itu, bergelut dengan krisis bantuan asing yang menurun mendadak selain pengusiran ratusan ribu rakyat Aghanistan oleh negara jiran.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Sharafat Zaman merayu bantuan antarabangsa untuk membantu meringankan beban kemusnahan yang melanda negara.
"Kami memerlukannya kerana di sini ramai rakyat kehilangan nyawa dan rumah kediaman," katanya.
Gempa meragut 812 nyawa di wilayah timur Kunar dan Nangarhar, kata jurucakap kerajaan Zabihullah Mujahid.
Pasukan penyelamat bergelut untuk meredah kawasan pergunungan yang terputus hubungan di sepanjang sempadan Pakistan, susulan rumah bata lumpur di cerun runtuh.
"Kawasan gempa terjejas berikutan hujan lebat berterusan sehingga 48 jam, terdedah risiko tanah runtuh - jadi banyak kawasan tidak dapat dilalui," jelas Kate Carey, pegawai Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).
Pasukan penyelamat dan pihak berkuasa juga berusaha membuang bangkai haiwan dengan segera bagi meminimumkan risiko pencemaran sumber air, tambah Carey.
Angka korban dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa apabila lebih banyak kawasan terpencil dapat diakses. - REUTERS