fb fb fb fb fb

Propaganda Hitler ditemui dalam simpanan Mahkamah Argentina selepas 84 tahun

Foto REUTERS

BUENOS AIRES, 12 Mei – Berpuluh-puluh kotak berisi bahan berkaitan Nazi yang dirampas oleh pihak berkuasa Argentina semasa era Perang Dunia Kedua telah ditemui semula baru-baru ini di ruang bawah tanah Mahkamah Agung, menurut kenyataan mahkamah pada Ahad.

Sebanyak 83 kotak itu dihantar oleh kedutaan Jerman di Tokyo ke Argentina pada Jun 1941 melalui kapal wap Jepun “Nan-a-Maru”, berdasarkan maklumat sejarah yang berjaya dikumpulkan oleh mahkamah.

Walaupun wakil diplomatik Jerman ketika itu mendakwa kotak-kotak tersebut mengandungi barangan peribadi, pihak kastam Argentina telah memeriksa lima kotak secara rawak dan menemui poskad, gambar dan bahan propaganda dari rejim Nazi, serta ribuan buku nota milik parti Nazi.

Seorang hakim persekutuan telah merampas bahan tersebut dan menyerahkan kes itu kepada Mahkamah Agung.

Lapan puluh empat tahun kemudian, kakitangan mahkamah menemui semula kotak-kotak berkenaan ketika mereka membuat persiapan untuk muzium Mahkamah Agung.

“Apabila membuka salah satu kotak, kami mengenal pasti bahan yang bertujuan menyebar dan mengukuhkan ideologi Adolf Hitler di Argentina semasa Perang Dunia Kedua,” kata kenyataan mahkamah itu.

Kini, kotak-kotak tersebut telah dipindahkan ke sebuah bilik dengan langkah keselamatan tambahan, dan Muzium Holocaust di Buenos Aires telah dijemput untuk membantu dalam kerja-kerja pemeliharaan dan inventori bahan tersebut.

Pakar juga akan menjalankan kajian terhadap bahan itu untuk mencari petunjuk mengenai aspek Holocaust yang masih tidak diketahui, seperti jaringan kewangan antarabangsa yang digunakan oleh Nazi.

Argentina kekal berkecuali dalam Perang Dunia Kedua sehingga tahun 1944, apabila ia memutuskan hubungan dengan kuasa Paksi.

Negara itu mengisytiharkan perang terhadap Jerman dan Jepun pada tahun berikutnya.

Menurut Muzium Holocaust, seramai 40,000 orang Yahudi memasuki Argentina dari tahun 1933 hingga 1954 untuk melarikan diri daripada penindasan Nazi di Eropah. Argentina kini mempunyai populasi Yahudi terbesar di Amerika Latin.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD