fb fb fb fb fb

AS, China umum kemajuan rundingan perdagangan di Geneva

Foto Hiasan / AFP

GENEVA, 12 Mei - Amerika Syarikat dan China dijadual menerbitkan butiran lanjut mengenai kemajuan signifikan yang dicapai dalam rundingan perdagangan dua hala di Geneva, Switzerland, hujung minggu lalu.

Perbincangan tersebut bertujuan meredakan ketegangan yang tercetus ekoran pelaksanaan tarif besar-besaran oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Rundingan tertutup itu melibatkan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dan Wakil Perdagangan, Jamieson Greer yang bertemu Naib Perdana Menteri China, He Lifeng serta Wakil Perdagangan Antarabangsa, Li Chenggang pada Sabtu dan Ahad.

Pertemuan itu merupakan rundingan bersemuka pertama antara pegawai kanan kedua-dua negara sejak Washington mengenakan tarif baharu sebanyak 145 peratus ke atas barangan dari China, menjadikan jumlah keseluruhan duti ke atas sesetengah produk mencecah 245 peratus.

Sebagai tindak balas, Beijing mengenakan tarif balas sebanyak 125 peratus ke atas barangan keluaran Amerika Syarikat.

Pertikaian perdagangan yang memuncak itu telah menggugat kestabilan pasaran kewangan global dan mencetuskan kebimbangan terhadap potensi kelembapan ekonomi dunia serta peningkatan kadar inflasi di Amerika Syarikat.

He dalam sidang media menyifatkan suasana mesyuarat sebagai “terbuka, mendalam dan konstruktif,” dan menyatakan rundingan ini adalah “langkah pertama yang penting.”

Kedua-dua pihak turut bersetuju menubuhkan satu mekanisme bersama bagi memudahkan komunikasi berkala dan tidak berkala berhubung isu perdagangan dan komersial, menurut Li dalam taklimatnya kepada media.

Sementara itu, White House dalam satu kenyataan memuji pencapaian dalam apa yang digelarnya sebagai “perjanjian perdagangan baharu” dengan China, namun tanpa memberikan maklumat tambahan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN