fb fb fb fb fb

12 lagi terbunuh dalam serangan terbaharu Israel di Gaza

Bayi antara mangsa serangan Israel yang menyasarkan khemah pelarian di Al-Mawasi, barat Khan Yunis pada Ahad/Reuters

GAZA CITY, 12 Mei- Sekurang-kurangnya 12 penduduk termasuk kanak-kanak terbunuh dalam siri serangan udara terbaharu Israel yang menyasarkan kawasan di selatan Semenanjung Gaza, menurut Agensi Pertahanan Awam wilayah itu.

Jurucakap agensi berkenaan, Mahmud Bassal berkata serangan yang berlaku awal pagi Ahad itu menyasarkan tiga khemah pelarian di bandar Khan Yunis yang menempatkan puluhan penduduk.

"Lapan mangsa termasuk empat kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun dan dua wanita disahkan maut dalam serangan berkenaan," katanya kepada AFP.

Rakaman yang diperoleh agensi berita itu menunjukkan pasukan penyelamat bertungkus-lumus dalam gelap, mengusung bayi yang cedera dan mengeluarkan dua mayat dari lokasi serangan.

Dalam insiden berasingan di Khan Yunis pada hari sama, tiga lagi individu terbunuh. Sementara itu, satu serangan di Gaza City turut meragut nyawa seorang awam dan mencederakan tiga yang lain.

Bassal turut memaklumkan tentera Israel memusnahkan lima buah rumah menggunakan bahan letupan di timur Gaza City dan melepaskan tembakan artileri ke kawasan Abassa, timur Khan Yunis, namun tiada kematian dilaporkan bagi kedua-dua insiden itu.

Sejak Sabtu lalu, Israel telah melancarkan lebih 50 serangan ke atas bumi Gaza.

Israel menyambung semula operasi ketenteraannya di Gaza pada 18 Mac lalu selepas gencatan senjata selama dua bulan berakhir.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 2,720 individu terkorban sejak serangan disambung semula, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak perang pada 7 Oktober 2023 mencecah 52,829 orang. -AFP

SITI AISHAH MD ISA