PARIS, 30 April- Syarikat penerbangan gabungan Perancis-Belanda, Air France-KLM mencatatkan pengurangan kerugian kepada 249 juta euro bagi suku pertama tahun ini, berbanding lebih 500 juta euro bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurut kenyataan rasmi kumpulan itu, jumlah hasil (turnover) meningkat sebanyak lapan peratus kepada 7.2 bilion euro, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap sektor pelancongan serta penurunan harga bahan api.
Sepanjang Januari hingga Mac 2025, sebanyak 21.8 juta penumpang direkodkan, meningkat 4.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Benjamin Smith berkata, jualan tiket bagi musim panas menjadi pemacu utama prestasi kewangan syarikat itu setakat ini.
Namun begitu, kumpulan tersebut turut memaklumkan bahawa tempahan dari Eropah ke Amerika Syarikat bagi tempoh Mei hingga Jun mencatatkan penurunan sebanyak 2.4 peratus, manakala jualan tiket dari bandar-bandar AS ke Eropah meningkat sebanyak 2.1 peratus.
Kos bahan api bagi tahun ini dianggarkan berjumlah 6.7 bilion euro, lebih rendah berbanding 7.3 bilion euro pada 2024.
Tahun lalu, Air France-KLM terkesan akibat kekurangan pesawat, kadar tukaran dolar AS yang tinggi serta pengurangan ketibaan ke Paris ketika berlangsungnya Sukan Olimpik, sekali gus mengehadkan keuntungan bersih tahunan kepada 317 juta euro.-AFP