fb fb fb fb fb

Bekas bintang EPL, Li Tie gagal rayu hukuman penjara 20 tahun

Bekas pemain tengah Liga Perdana Inggeris dan jurulatih kebangsaan China, Li Tie / AFP

BEIJING, 30 April- Bekas pemain tengah Liga Perdana Inggeris dan jurulatih kebangsaan China, Li Tie, gagal dalam rayuannya terhadap hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan rasuah, menurut Mahkamah Tinggi Wilayah Hubei hari ini.

Li, 47, yang pernah bermain untuk kelab Everton dan mewakili pasukan kebangsaan hampir 100 kali, dijatuhi hukuman pada Disember lalu selepas didapati bersalah menerima dan memberi rasuah dalam beberapa insiden melibatkan pentadbiran bola sepak China.

Mahkamah memutuskan untuk mengekalkan sabitan serta tempoh hukuman yang dikenakan oleh mahkamah peringkat lebih rendah.

Li Tie pernah memegang jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan China dari Januari 2020 hingga Disember 2021, sebelum ditahan dalam siasatan menyeluruh pihak berkuasa terhadap gejala rasuah dalam industri sukan negara itu.

Sejak melancarkan kempen antirasuah lebih sedekad lalu, Presiden Xi Jinping memberi tumpuan khusus kepada pembersihan dalam sektor sukan sejak 2022, menyaksikan beberapa tokoh termasuk pemain, jurulatih dan pentadbir bola sepak dihukum.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE