KIEV, 30 April- Sekurang-kurangnya seorang maut manakala berpuluh lagi cedera dalam siri serangan dron oleh tentera Rusia di bandar Dnipro dan Kharkiv, menurut pihak berkuasa Ukraine pada Rabu.
Serangan tersebut berlaku ketika Amerika Syarikat mendesak penyelesaian konflik dan menyifatkan minggu ini sebagai tempoh penentu sama ada usaha damai akan diteruskan atau tidak.
“Lagi satu malam penuh keganasan di Ukraine. Sekali lagi, dron musuh menyerang bangunan kediaman orang awam,” kata Wanita Pertama Ukraine, Olena Zelenska.
Gabenor wilayah Dnipro, Sergiy Lysak, mengesahkan seorang lelaki berusia 53 tahun terbunuh dalam serangan di bandar tersebut.
Sementara itu di Kharkiv, 14 orang dilaporkan cedera dan lebih 30 lagi mengalami "reaksi tekanan akut", menurut Gabenor Wilayah Oleg Synegubov. Datuk Bandar Kharkiv, Igor Terekhov, turut melaporkan bahawa bandar berhampiran sempadan Rusia itu terkena 16 serangan.
Di seberang sempadan Rusia pula, Pemangku Gabenor Wilayah Kursk, Alexander Khinshtein, menyatakan dalam hantaran Telegram bahawa tiga orang cedera dalam serangan dron di kawasan pinggir bandar Rylsk, dua daripadanya dimasukkan ke hospital.-AFP