UPPSALA, 30 April- Polis Sweden menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun susulan insiden tembakan di sebuah salon rambut yang meragut nyawa tiga remaja berusia antara 15 hingga 20 tahun, kata pihak berkuasa pada Rabu.
Kejadian berlaku secara terbuka pada Selasa di bandar universiti Uppsala, sehari sebelum sambutan pesta musim bunga Valborg yang lazimnya menarik lebih 100,000 pengunjung, termasuk ramai pelajar.
Menurut Komander Polis Erik Akerlund, suspek kini ditahan atas tuduhan membunuh, manakala beberapa individu lain turut dibawa untuk disoal siasat berhubung siasatan kes ini.
Media tempatan melaporkan salah seorang mangsa dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah, namun polis belum mengesahkan perkara itu, sebaliknya menyatakan siasatan masih terbuka kepada pelbagai kemungkinan.
Uppsala dikenal pasti sebagai pangkalan dua ketua geng terkenal Sweden, Ismael Abdo dan Rawa Majid yang dipercayai mengatur aktiviti jenayah dari luar negara.
Insiden tersebut menambah kebimbangan berterusan mengenai keganasan geng di Sweden, termasuk siri tembakan dan pengeboman yang melibatkan remaja bawah umur.
Menteri Kehakiman Gunnar Strommer menyifatkan insiden itu sebagai "amat serius", manakala Datuk Bandar Uppsala, Erik Pelling, meluahkan rasa terkejut dan marah kejadian seperti ini masih berlaku.
Beliau turut menyatakan rasa kecewa kerana pihak berkuasa masih belum berjaya menangani jenayah geng secara berkesan walaupun pelbagai langkah telah diambil.
Statistik rasmi menunjukkan penurunan dalam kes pembunuhan berkaitan geng pada 2024, dengan 92 kes direkodkan, menurun 29 kes berbanding 2023 jumlah terendah sejak 2014.
Bagaimanapun, negara itu masih trauma dengan insiden tembakan beramai-ramai paling buruk pada Februari lalu apabila 10 orang dibunuh di pusat pendidikan dewasa di Orebro oleh seorang lelaki bersenjata yang kemudian menembak diri sendiri.-AFP