fb fb fb fb fb

Mahkamah Thailand tolak kes layanan istimewa Thaksin, arah siasatan dalaman

FOTO AFP

BANGKOK, 30 April- Mahkamah tertinggi Thailand hari ini menolak satu petisyen yang mendakwa bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, menerima layanan istimewa sewaktu kembali ke negara itu selepas lebih sedekad dalam buangan.

Kes tersebut difailkan oleh bekas Ahli Parlimen Parti Demokrat, seteru politik lama keluarga Thaksin, yang mendakwa pihak berkuasa memberi layanan luar biasa kepada Thaksin, 75, selepas beliau pulang ke Thailand pada Ogos 2023.

Setibanya di Bangkok, Thaksin dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa, namun hanya sehari selepas itu, beliau dipindahkan ke Hospital Polis Diraja atas alasan kesihatan dan kekal di situ sehingga menerima pengampunan diraja kira-kira enam bulan kemudian. Beliau kemudian dibebaskan atas parol.

Ketiadaan beliau dalam sel penjara serta kepulangannya yang kebetulan berlaku pada hari Parti Pheu Thai mengambil alih kerajaan, mencetuskan spekulasi wujudnya perjanjian sulit di belakang tabir.

Namun, Mahkamah Agung memutuskan hari ini bahawa pemfail petisyen “tidak mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan” kerana tidak terlibat secara langsung dalam kes tersebut.

Walau bagaimanapun, mahkamah telah mengarahkan satu siasatan dalaman untuk menentukan sama ada Thaksin benar-benar menjalani hukumannya dengan sewajarnya. Pegawai dari penjara, Jabatan Penjara serta doktor hospital akan dipanggil memberi keterangan pada 13 Jun depan.

Thaksin, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bersara daripada politik selepas pulang ke tanah air, dilihat terus aktif berkempen untuk pilihan raya peringkat wilayah bagi Parti Pheu Thai serta dilaporkan terlibat dalam rundingan perdagangan tidak rasmi bersama Amerika Syarikat.

Parti Pheu Thai kini membentuk kerajaan menerusi gabungan dengan parti-parti berhaluan tentera, sekali gus mengakhiri pertelingkahan politik antara blok reformis dan pro-tentera yang berlarutan sejak sekian lama. Anak perempuan Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, kini memegang jawatan Perdana Menteri.

Penganalisis politik, Yuttaporn Issarachai berkata kepada AFP bahawa kes ini hanyalah “satu lagi pertempuran undang-undang” yang dicetuskan kumpulan anti-Thaksin dalam usaha menyingkirkan beliau dari gelanggang politik.

“Kita dah biasa lihat perkara sebegini dalam landskap politik Thailand sejak dua dekad lalu,” katanya.

Thaksin dijadualkan hadir ke mahkamah Julai ini bagi menghadapi perbicaraan berasingan berkaitan dakwaan menghina institusi diraja susulan temu ramah beliau dengan media Korea Selatan pada 2015.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE