fb fb fb fb fb

Darurat tanpa had di Sri Lanka, ketahui kronologi krisis memuncak

(Penduduk Sri Lanka melawat kediaman presiden di Colombo pada 13 Julai 2022
selepas kediaman itu diserbu peserta protes/AFP)

COLOMBO, 13 Julai- Sri Lanka yang dilanda krisis kewangan yang serius hari ini mengisytiharkan darurat tanpa had di seluruh negara, beberapa jam selepas Presiden Gotabaya Rajapaksa meninggalkan negara itu, menurut kenyataan pejabat perdana menteri.

“Memandangkan presiden berada di luar negara, darurat telah diisytiharkan untuk menangani situasi negara,” kata Dinouk Colombage, jurucakap Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe, kepada AFP.

Menurut polis pihaknya juga terpaksa menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh Wilayah Barat, termasuk ibu negara Colombo, bagi membendung protes yang semakin meningkat selepas Rajapaksa meninggalkan negara ke Maldives menggunakan pesawat tentera.

Ribuan penunjuk perasaan telah mengelilingi pejabat perdana menteri, mendorong polis melepaskan gas pemedih mata untuk menghalang mereka daripada menyerbu kawasan itu.

"Terdapat protes berterusan di luar pejabat perdana menteri di Colombo dan perintah berkurung terpaksa dikuat-kuasakan untuk mengawal keadaan," kata seorang pegawai kanan polis kepada AFP.

Penduduk di negara yang dihuni kira-kira 22 juta orang sejak berbulan lalu berdepan pelbagai masalah seperti pemotongan bekalan elektrik, kekurangan makanan, bahan api dan kadar inflasi yang melambung tinggi.

Sejak berbulan juga, penduduk mengadakan protes menuntut Presiden Rajapaksa meletak jawatan kerana gagal menguruskan ekonomi negara sehingga menyebabkan Sri Lanka berdepan masalah kewangan yang kronik.

Berikut kronologi bagaimana krisis memuncak:

-1 April: Pengumuman Darurat-

Rajapaksa mengumumkan darurat sementara, memberikan kuasa menyeluruh kepada pasukan keselamatan negara untuk menangkap dan menahan suspek yang mengugat kerajaan selepas protes memuncak.

-3 April: Menteri Kabinet Meletak Jawatan-

Hampir ke semua menteri kabinet meletak jawatan semasa mesyuarat yang berlangsung pada lewat malam, meninggalkan pentadbiran Rajapaksa dan abangnya Mahinda selaku Perdana Menteri.

Sehari selepas itu, giliran Gabenor Bank Pusat pula mengumumkan perletakan jawatan, setelah menolak gesaan untuk terus mendapatkan bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

-5 April: Presiden Hilang Sokongan Majoriti-

Masalah Presiden Rajapaksa semakin meruncing selepas Menteri Kewangan Ali Sabry meletak jawatan sehari selepas beliau dilantik menjawat jawatan itu.

Rajapaksa hilang sokongan majoriti ahli parlimen selepas bekas sekutunya turut mendesak beliau meletak jawatan. Susulan itu, darurat diisytiharkan.

-10 April: Kekurangan Bekalan Ubat-ubatan-

Menurut para doktor, bekalan ubat penting hampir kehabisan, memberi amaran bahawa krisis bakal berakhir dengan lebih banyak nyawa terkorban berbanding pandemik COVID-19.

-12 April: Gagal Bayar Hutang Luar Negara-

Kerajaan mengumumkan kegagalan untuk membayar hutang luar sebanyak AS$51 bilion, ‘pilihan terakhir’ yang ada selepas negara kehabisan wang untuk mengimport barangan yang sangat diperlukan.

-19 April: Kematian Pertama-

Polis dilapor telah membunuh seorang penunjuk perasaan, kematian pertama selepas beberapa minggu penduduk mengadakan protes antikerajaan.

Hari berikutnya, IMF menyatakan telah meminta Sri Lanka supaya menyusun semula hutang luar negerinya yang mencecah jumlah besar jika mahu IMF meluluskan pakej menyelamat seperti yang diminta.

-9 Mei: Keganasan Tercetus-

Sekumpulan penyokong setia kerajaan yang datang dari luar bandar menyerang kumpulan penunjuk perasaan yang berkhemah di luar pejabat presiden di pinggir laut, Colombo.

Sembilan orang dilapor terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam serangan balas yang menyasarkan mereka yang bertanggungjawab atas keganasan sebelum itu selain rumah ahli parlimen turut dibakar.

Mahinda Rajapaksa meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan terpaksa diselamatkan oleh tentera selepas ribuan penunjuk perasaaan menyerbu kediamannya di Colombo.

Beliau diganti oleh Ranil Wickremesinghe, ahli politik veteran yang pernah berkhidmat selama beberapa penggal sebagai premier atau perdana menteri.

-10 Mei: Arahan Tembak-

Kementerian Pertahanan mengeluarkan arahan kepada tentera untuk menembak sesiapa sahaja yang terlibat dalam rompakan atau “menyebabkan bahaya kepada nyawa manusia”. 

Namun, perintah berkurung itu dibantah penunjuk perasaan dan kemudian perintah itu ditarik balik pada akhir bulan.

Pegawai tertinggi polis di Colombo turut diserang dan kenderaannya dibakar.


(Seorang pemuda mengibarkan bendera Sri Lanka di luar sekretariat presiden di Colombo pada
13 Julai 2022 selepas sekumpulan besar penunjuk perasaan menyerbu kediaman presiden/AFP)

-10 Jun: Krisis Kemanusiaan-

PBB memberi amaran bahawa Sri Lanka sedang berdepan krisis kemanusiaan yang teruk dengan jutaan penduduk memerlukan bantuan segera.

Lebih tiga perempat penduduk telah mengurangkan pengambilan makanan harian disebabkan kekurangan bekalan makanan dihadapi negara, kata PBB.

-27 Jun: Jualan Bahan Api Digantung-

Kerajaan Sri Lanka menyatakan mereka hampir kehabisan bahan api dan menghentikan semua penjualan petrol kecuali kepada perkhidmatan penting.

-1 Julai: Kadar Inflasi Baharu-

Data yang dikeluarkan kerajaan menunjukkan inflasi telah mencecah rekod tertinggi untuk bulan kesembilan berturut-turut, sehari selepas IMF meminta Sri Lanka mengekang kenaikan harga.

-9 Julai: Kediaman Presiden Diserbu-

Presiden Rajapaksa terpaksa meninggalkan kediaman rasminya di Colombo dengan bantuan tentera, sejurus sebelum peserta demonstrasi menyerbu perkarangan kediaman tersebut.

Beliau dibawa ke satu lokasi tidak didedahkan.

Gambar yang diambil dari dalam kediaman menunjukkan peserta protes bersorak kegembiraan, melompat ke dalam kolam dan ada yang menyelongkar sambil menikmati kemewahan bilik tidur presiden.  

Kediaman Wickremesinghe turut dibakar. Menurut Polis, beliau dan keluarganya tidak berada di kediaman tersebut.

Susulan itu, Rajapaksa menawarkan diri untuk berundur pada 13 Julai, menurut speaker parlimen Mahinda Abeywardana dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen.

-13 Julai: Presiden Meninggalkan Negara-

Presiden Rajapaksa dilapor terbang meninggalkan negara ke Maldives menggunakan pesawat tentera, bersama-sama isterinya dan turut diiringi pengawal peribadi.

Sebelum itu, ketika di lapangan terbang Colombo, kakitangan imigresen tidak membenarkan sebarang perkhidmatan VIP dan mendesak semua penumpang melalui kaunter awam untuk sebarang urusan penerbangan.

Menurut seorang pegawai keselamatan, wakil parti presiden enggan melalui saluran biasa kerana bimbang dengan reaksi ganas orang ramai. -AFP

Media Baharu