fb fb fb fb fb

Presiden Seychelles intai penggal kedua dalam pilihan raya

Presiden Seychelles, Wavel Ramkalawan mengintai penggal kedua dalam pilihan raya yang memasuki pusingan penentuan minggu depan/ REUTERS

VICTORIA, 6 Oktober - Presiden Seychelles, Wavel Ramkalawan yang mencipta sejarah pada tahun 2020 sebagai calon pembangkang pertama memenangi jawatan presiden sejak kemerdekaan, kini berusaha mendapatkan penggal kedua dalam pilihan raya yang memasuki pusingan penentuan minggu depan.

Bertanding di bawah bendera Linyon Demokratik Seselwa (LDS), Ramkalawan menekankan kesinambungan, pembaharuan serta ketahanan.

Manifesto beliau memfokuskan sifar toleransi terhadap rasuah, pengukuhan institusi bebas, pelaburan dalam infrastruktur, kesihatan dan pendidikan, selain memperjuangkan ekonomi biru serta perlindungan alam sekitar.

Pada pusingan pertama pada September lalu, beliau meraih 46.4 peratus undi, ketinggalan tipis di belakang pencabar utamanya, Patrick Herminie yang memperoleh 48.8 peratus.

Tiada calon melepasi majoriti, sekali gus memaksa pengundian pusingan kedua pada 9 hingga 11 Oktober di Mahe dan pulau-pulau lain.

Pilihan raya kali ini dilihat sebagai persaingan sengit antara kesinambungan dasar Ramkalawan dan seruan perubahan oleh Herminie, dengan keputusan awal mencerminkan masyarakat Seychelles masih berbelah bahagi mengenai hala tuju politik negara itu. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN