BELGRADE, 3 Mac- Presiden Serbia Aleksandar Vucic hari ini memohon maaf selepas menggelar seorang wartawan penyiaran milik kerajaan sebagai 'bebal' ketika mengkritik liputan media terhadap perhimpunan membantah rasuah di Nis pada Sabtu lalu.
Perhimpunan yang dihadiri ribuan peserta itu adalah sebahagian daripada gerakan protes berterusan susulan insiden runtuhan stesen kereta api di Novi Sad tahun lalu yang meragut 15 nyawa.
Tekanan terhadap pentadbiran Vucic semakin meningkat menyebabkan beberapa pegawai kanan termasuk Perdana Menteri meletakkan jawatan pada Januari.
Ketika lawatan ke Bor, semalam, Vucic mengkritik seorang wartawan RTS di Nis dan menggelarnya sebagai "bebal yang mengampu dan berkomplot dengan penunjuk perasaan."
Kenyataan itu mendapat kecaman kumpulan hak media serta RTS yang menuntut permohonan maaf dan menegaskan media perlu bebas daripada tekanan politik.
"Hari ini saya memohon maaf kepada rakyat Serbia dan wartawan RTS. Walau apa pun tekanan yang saya hadapi, saya tidak sepatutnya menggunakan perkataan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau terus mengkritik RTS, mendakwa organisasi itu gagal melaporkan berita secara objektif dan menyifatkan wartawannya sebagai "aib kepada profesion kewartawanan."
Insiden runtuhan bumbung stesen kereta api di Novi Sad pada November lalu mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap isu rasuah serta dakwaan kelemahan pemantauan dalam projek pembinaan dan pembangunan negara.
Kerajaan bertindak dengan menyeru dialog namun dalam masa sama menuduh protes itu didalangi kuasa asing. Sebagai langkah meredakan ketegangan, beberapa tuntutan yang dikemukakan kumpulan pelajar telah dipertimbangkan. -AFP