fb fb fb fb fb

Presiden Liberia George Weah bertanding semula dalam pilihan raya Afrika Barat

MONROVIA, 31 Januari - Presiden Liberia dan bekas bintang bola sepak antarabangsa George Weah mengumumkan pada Isnin bahawa beliau akan bertanding untuk pemilihan semula akhir tahun ini.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah kritikan yang semakin meningkat terhadap George, yang dituduh enggan menangani masalah dihadapi penduduk yang berdepan isu kenaikan harga dan kekurangan makanan.


(Presiden Liberia dan bekas bintang bola sepak antarabangsa George Weah mengumumkan,
beliau akan bertanding untuk pemilihan semula akhir tahun ini - Foto AFP)

“Saudara-saudara saya, saya akan datang kepada anda tidak lama lagi untuk meminta anda memperbaharui untuk kali kedua mandat yang anda berikan kepada saya enam tahun lalu,” kata Weah dalam ucapan tahunan State of the Nation.

Pilihan raya itu dijadualkan pada 10 Oktober di negara Afrika Barat itu.

George berkuasa pada 2018 selepas memenangi pilihan raya Oktober 2017.

Lelaki berusia 56 tahun itu tidak hadir di Liberia selama lebih sebulan lewat tahun lalu, mencetuskan kritikan.

Pemimpin itu pergi ke luar negara pada penghujung Oktober untuk beberapa perhimpunan politik di beberapa buah negara selain menyaksikan anak lelaki yang juga pemain bola sepak mewakili Amerika Syarikat di Piala Dunia di Qatar.

Presiden itu dilaporkan tidak pulang ke tanah air pada 18 Disember lalu, tatkala orang ramai sedang bergelut dengan kenaikan harga dan kekurangan barangan asas.

Sehari sebelum itu, ratusan rakyat Liberia mengadakan demonstrasi secara aman atas seruan pembangkang untuk mengecam ketidakcekapan selain sikap acuh tak acuh George terhadap nasib rakyat Liberia.

Memerangi rasuah telah menjadi salah satu janji kempen utama George, tetapi pada September dia menerima peletakan jawatan tiga sekutu rapatnya selepas Amerika Syarikat menuduh mereka melakukan rasuah.

George pada mulanya menggantung lelaki itu daripada peranan mereka selepas Washington mengenakan sekatan ke atas tertuduh atas dakwaan terikat dengan kontrak berjuta-juta dolar dan sekurang-kurangnya AS$1.5 juta dalam dana awam yang dialihkan. - AFP

Media Baharu