AMMAN, 26 Februari- Presiden Interim Syria, Ahmed al-Sharaa, bertemu Raja Jordan, Raja Abdullah II, di Amman pada Rabu dalam lawatan luar negara ketiganya sejak menggulingkan Bashar al-Assad.
Menurut kenyataan Istana Diraja, Raja Abdullah II menyambut ketibaan Sharaa di Lapangan Terbang Marka, Amman.
"Kedua-dua pemimpin kemudian berangkat ke Istana Raghadan bagi mengadakan perbincangan pertama mereka sejak Sharaa mengambil alih kuasa.
"Ini merupakan lawatan luar negara ketiga Sharaa sejak kejatuhan Assad pada Disember, selepas kunjungannya ke Arab Saudi dan Turkiye," menurut kenyataan itu.
Sharaa diiringi Menteri Luar, Asaad al-Shaibani, yang sebelum ini melawat Amman pada Januari untuk berbincang dengan rakan sejawatnya, Ayman Safadi.
Semasa lawatan Shaibani, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk bekerjasama dalam menangani penyeludupan dadah dan senjata merentasi sempadan bersama.
Jordan merupakan antara negara Arab yang mengekalkan kedutaannya di Damsyik selepas perang saudara tercetus pada 2011.
Negara itu turut menganjurkan sidang antarabangsa mengenai Syria pada 14 Disember, kurang seminggu selepas Assad digulingkan.- AFP