fb fb fb fb fb

Presiden Indonesia tekankan pencapaian ekonomi, agenda kebajikan sosial

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ketika menyampaikan Ucapan Tahunan Negara di Parlimen/ Foto AFP

JAKARTA, 15 Ogos - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan prestasi ekonomi yang mengatasi jangkaan, kadar pengangguran rendah serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan sosial menjadi fokusnya ketika menyampaikan ucapan sulung beliau di Parlimen, pada Jumaat.

Bekas komander pasukan khas itu, yang mula memegang jawatan pada Oktober lalu, berikrar untuk memacu pertumbuhan pesat yang dipacu oleh kerajaan bagi menjadikan Indonesia sebagai kuasa besar ekonomi dunia.

Dalam ucapannya, Prabowo mempertahankan dasar sosialnya, termasuk program makanan percuma untuk pelajar sekolah dan ibu hamil, meskipun ia menimbulkan kebimbangan pelabur serta bantahan pelajar akibat tekanan terhadap perbelanjaan negara.

Beliau berkata, ekonomi Indonesia kekal kukuh dengan pertumbuhan suku kedua 2025 mencecah 5.12 peratus, melepasi jangkaan dan meningkat daripada 4.87 peratus pada suku sebelumnya.

Kadar pengangguran pula berada pada tahap terendah sejak Krisis Kewangan Asia.

Prabowo turut menekankan kejayaan rundingan dengan Amerika Syarikat untuk mengurangkan tarif import daripada 32 peratus kepada 19 peratus, sebagai pertukaran kepada penurunan sekatan perdagangan terhadap barangan AS.

“Matlamat kita adalah bebas daripada kemiskinan, kebuluran dan penderitaan,” katanya sambil mempertahankan pelaksanaan program makanan percuma yang memanfaatkan kira-kira 20 juta rakyat, walaupun berdepan laporan kelewatan pengagihan dan insiden keracunan makanan.

Prabowo, yang menggantikan Joko Widodo selepas dua kali gagal dalam pilihan raya presiden, dijangka membentangkan belanjawan 2026 menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia, Ahad ini. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN