fb fb fb fb fb

Perangi jenayah, kawalan keselamatan Washington D.C. diperketat

Foto VIORY

AMERIKA SYARIKAT, 15 Ogos - Pasukan keselamatan persekutuan yang melibatkan pelbagai agensi, khususnya Pengawal Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), dikerahkan ke lokasi strategik sekitar Washington D.C., semalam, dalam usaha Presiden Donald Trump membanteras jenayah di ibu negara.

Rakaman yang diperoleh menunjukkan anggota dan kenderaan Pengawal Kebangsaan ditempatkan berhampiran bangunan Capitol, manakala pegawai Polis Amtrak menjalankan rondaan di Stesen Union Washington.

Bagaimanapun, tindakan itu mendapat bantahan sekumpulan penunjuk perasaan.

Terdahulu, Trump mengisytiharkan “Hari Pembebasan” serta mengarahkan penempatan anggota Pengawal Kebangsaan di ibu negara.

Beliau dalam kenyataan di Truth Social menyatakan Washington D.C. perlu dibebaskan daripada jenayah, keganasan dan kekotoran.

Sekurang-kurangnya 800 anggota Pengawal Kebangsaan dan kira-kira 850 pegawai penguat kuasa undang-undang persekutuan terlibat dalam operasi tersebut, dengan pihak berkuasa tempatan mengesahkan 23 tangkapan dibuat pada malam sebelumnya.

Dalam kenyataan media, White House mendakwa pihak berkuasa tempatan kehilangan kawalan terhadap ketenteraman awam, termasuk insiden pembunuhan dua kakitangan kedutaan Israel pada Mei lalu.

Namun, laporan terbaharu Jabatan Kehakiman menunjukkan kadar jenayah ganas di Washington D.C. menurun ke paras terendah dalam tempoh 30 tahun pada 2024, selain mencatat penurunan 35 peratus pada 2023. –VIORY

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM