DHAKA, 23 Mei – Perdana Menteri de-facto Bangladesh, Muhammad Yunus, mengancam akan meletakkan jawatan sekiranya parti-parti politik negara itu terus gagal mencapai kata sepakat mengenai pelaksanaan reformasi yang dijanjikan kepada rakyat, kata seorang pemimpin pelajar utama, sekali gus menambah ketidaktentuan politik selepas gelombang protes berdarah tahun lalu.
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu, yang kini berusia 84 tahun, dilantik sebagai pemimpin sementara negara Asia Selatan itu sejak Ogos lalu, selepas kebangkitan pelajar memaksa Perdana Menteri ketika itu, Sheikh Hasina, melarikan diri ke India.
Nahid Islam, ketua Parti Warga Negara Kebangsaan (NCP) yang baharu ditubuhkan dan hanya menyokong pilihan raya selepas reformasi dilaksanakan, berkata Yunus kini berdepan kesukaran menjalankan tugas tanpa sokongan menyeluruh daripada parti-parti politik.
"Beliau kelihatan amat kecewa," kata Nahid kepada pemberita selepas bertemu Yunus pada Khamis.
"Beliau menyatakan bahawa jika beliau tidak dapat melaksanakan tanggungjawab untuk merombak sistem dan menyediakan pilihan raya yang adil, maka beliau mungkin perlu berundur.
Beliau merasakan dirinya tersepit antara desakan pelbagai kem politik dan tekanan awam yang semakin meningkat."
Yunus sebelum ini berjanji untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan susulan pengunduran Hasina, namun kegagalan mencapai kemajuan serta perpecahan politik yang berterusan meletakkan pentadbirannya dalam kedudukan goyah.
"Kami tekankan bahawa rakyat tidak bangkit semata-mata untuk menukar kerajaan, tetapi untuk mengubah sistem," tambah Nahid, yang partinya lahir daripada protes pelajar tahun lalu.
"Pilihan raya tanpa reformasi hanya akan mengulangi masalah lama", katanya.
Dengan kerajaan sementara tersepit antara desakan untuk mengadakan pilihan raya segera dan tekanan supaya reformasi dilaksanakan dahulu, peletakan jawatan Yunus berisiko meningkatkan lagi ketidakstabilan.
Yunus sebelum ini menyatakan pilihan raya mungkin ditangguhkan sehingga 2026.
Sementara itu, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pimpinan bekas Perdana Menteri Khaleda Zia, terus mendesak agar pilihan raya diadakan selewat-lewatnya Disember ini.
Pada Rabu, pemimpin-pemimpin BNP menyatakan bahawa sokongan mereka terhadap kerajaan sementara akan "sukar diteruskan" tanpa pelan pilihan raya yang jelas.
Sebagai reaksi terhadap kenyataan Nahid, pemimpin kanan BNP, Abdul Moyeen Khan berkata, kenyataan seperti itu perlu disahkan secara rasmi oleh pejabat Yunus, memandangkan kredibiliti pentadbirannya kini berada di tahap terendah.
"Saya lebih cenderung mengatakan, hasrat suci rakyat Bangladesh adalah agar Dr Yunus berundur secara bermaruah, serta menghormati amanah yang diberikan rakyat untuk menganjurkan pilihan raya bebas dan adil secepat mungkin," katanya.
Menambah tekanan terhadap kerajaan berkenaan, Ketua Angkatan Tentera Bangladesh, Jeneral Waker-Uz-Zaman turut menyuarakan sokongan agar pilihan raya diadakan Disember ini, dalam satu ucapan di kem tentera Dhaka minggu ini, sambil menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keadaan politik semasa.-REUTERS.