fb fb fb fb fb

Mumia Mesir purba miliki bauan kayu, rempah dan manis

Keranda batu Mesir purba di Muzium Mesir di Kaherah/ REUTERS

MESIR, 23 Mei- Kajian terbaharu sekumpulan saintis dari Universiti Kolej London (UCL) dan Universiti Ljubljana mendedahkan bahawa jasad mumia Mesir purba mengeluarkan bauan kayu, rempah dan manis.

Penemuan itu sekali gus membuka perspektif baharu mengenai proses dan bahan yang digunakan dalam teknik pengawetan zaman lampau.

Penyelidikan itu juga merupakan analisis sistematik pertama terhadap bau mumia yang menggabungkan teknologi analisis kimia terkini dengan penilaian deria oleh pakar terlatih.

"Hidung kita merupakan alat luar biasa untuk memahami masa lalu. Justeru, kami ingin meneroka potensi hidung sebagai alat diagnostik dalam kajian jasad mumia," kata Dr Cecilia Bembibre dari kata Dr Cecilia Bembibre dari Pusat Pengajian Alam Sekitar, Tenaga & Sumber Bartlett (UCL).

Dalam kajian itu, penyelidik meneliti sembilan jasad mumia dari Muzium Mesir di Kaherah. Sampel udara sebanyak 10 liter diambil menggunakan tiub khas, sebelum dianalisis menggunakan kromatografi gas spektrometer jisim bagi mengenal pasti sebatian kimia yang terhasil.

"Teknik ini membolehkan kami mengasingkan setiap sebatian organik meruap yang menyumbang kepada bau keseluruhan serta mengenal pasti dan menghuraikannya," jelas Dr Bembibre.

Panel penilai terlatih kemudian menilai kualiti, intensiti dan tahap kesedapan bau tersebut.

Hasil kajian mendapati bahawa aroma unik itu berpunca daripada resin konifer, resin getah seperti damar dan kemenyan, serta lilin yang digunakan dalam proses pengawetan purba.

Bauan tersebut menyenangkan hingga ke hari ini sekali gus mencerminkan kepercayaan masyarakat Mesir purba bahawa aroma harum melambangkan kesucian manakala bauan busuk dikaitkan dengan pereputan.

Kajian yang dijalankan bersama pakar pemuliharaan Mesir itu turut membezakan antara bahan asli pengawetan dan bahan tambahan pemuliharaan moden seperti racun perosak.

Pendekatan itu tidak merosakkan artifak, menawarkan kaedah baharu dalam menganalisis tinggalan purba tanpa menjejaskan keaslian mumia.

"Penemuan ini membantu kami mengenal pasti jenis bahan yang digunakan dan bagaimana ia dapat bertahan selama ribuan tahun," ujar Dr Bembibre.

Penyelidikan ini turut memberi pemahaman lebih mendalam terhadap teknik pengawetan termasuk variasi mengikut zaman, lokasi dan status sosial.

Hasil kajian juga membuka potensi kepada muzium untuk mencipta 'landskap bau' (smellscapes) yang membolehkan pengunjung mengalami sendiri warisan Mesir purba.

"Dengan menggunakan deria bau, kita boleh mendekati sejarah dan warisan. Kami kini bekerjasama dengan pakar minyak wangi dan saintis untuk menghidupkan semula bau-bauan ini di muzium, sekali gus membina hubungan emosi lebih peribadi dengan warisan silam," tambahnya.-REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI