fb fb fb fb fb

Presiden baharu Taiwan seru China hentikan ancaman

FOTO REUTERS

TAIPEI, 20 Mei- Presiden baharu Taiwan Lai Ching-te meminta China pada Isnin menghentikan ancaman ketenteraan dan politiknya sambil menjelaskan keamanan adalah satu-satunya pilihan dan Beijing perlu menghormati pilihan rakyat Taiwan.

China bertindak balas dengan mengatakan Lai telah menghantar isyarat berbahaya yang cuba menjejaskan keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan.

Lai, dalam ucapannya mengulangi panggilan untuk berbincang dengan China, yang menganggap pulau tersebut sebagai wilayahnya sendiri.

"Saya juga mahu menggesa China untuk berhenti menakut-nakutkan Taiwan daripada segi politik dan ketenteraan, serta memikul tanggungjawab global dengan Taiwan untuk bekerja keras dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan dan di rantau ini.

"Memastikan dunia tanpa rasa takut perang meletus. Kami juga ingin mengisytiharkan perkara ini kepada dunia, Taiwan tidak membuat konsesi terhadap demokrasi dan kebebasan. Keamanan adalah satu-satunya pilihan dan kemakmuran adalah matlamat kami untuk keamanan dan kestabilan jangka panjang,"katanya.

Pejabat Hal Ehwal Taiwan China kemudiannya menjawab komen Lai "mendedahkan sepenuhnya sifat sebenar beliau sebagai individu yang berjuang untuk kemerdekaan Taiwan", sambil menambah bahawa situasi di Selat Taiwan adalah rumit.

"Kemerdekaan Taiwan tidak sesuai dengan keamanan di Selat Taiwan," katanya dalam satu kenyataan. "Tidak kira bagaimana keadaan di pulau itu berubah, tidak kira siapa yang berkuasa, ia tidak akan mengubah hakikat bahawa kedua-dua pihak adalah milik China".

China berkali-kali menggelar Lai sebagai 'pemisah' yang mempertaruhkan perang menjelang pemilihannya pada Januari.

Taiwan berdepan tekanan daripada China, termasuk aktiviti tetap tentera udara dan tentera laut berhampiran pulau itu, sejak kemenangan pilihan raya oleh Lai, 64, yang dikenali ramai dengan nama Inggerisnya, William.

Lai, yang mengambil alih jawatan Tsai Ing-wen setelah berkhidmat sebagai naib presiden sejak empat tahun lalu, berkata orang ramai mesti realistik tentang ancaman itu dan Taiwan mesti menunjukkan keazamannya untuk mempertahankan diri.

“Rakan-rakan rakyat, kita mempunyai cita-cita untuk mengejar keamanan, tetapi kita tidak boleh mempunyai ilusi,” katanya. "Sebelum China menyerah menggunakan kekerasan untuk menyerang Taiwan, rakyat mesti memahami perkara ini: Walaupun kita menerima semua tuntutan China dan melepaskan kedaulatan kita, cita-cita China untuk mengambil alih Taiwan tidak akan hilang."-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE