fb fb fb fb fb

AstraZeneca rancang buka kilang ubat kanser di Singapura

FOTO AFP

SINGAPURA, 20 Mei- Gergasi farmaseutikal Britain AstraZeneca pada Isnin memaklumkan pihaknya merancang untuk membina kilang bernilai AS$1.5 bilion di Singapura untuk menghasilkan ubat bagi merawat kanser.

Fasiliti itu, yang akan siap menjelang 2029, akan menghasilkan konjugat ubat antibodi (ADC), sejenis rawatan yang menyerang sel kanser tanpa merosakkan sel yang sihat di sekelilingnya, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Kilang berkenaan akan menjadi "tapak pengeluaran ADC pertama AstraZeneca, menggabungkan sepenuhnya semua langkah proses pembuatan pada skala komersial", kata firma itu.

Pelaburan itu mendapat sokongan Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) negara kota itu, namun tidak mendedahkan butiran insentif daripada kerajaan.

"Kami mengalu-alukan keputusan AstraZeneca untuk mewujudkan kilang pembuatan di Singapura buat kali pertama. Ia juga akan menjadi yang pertama untuk AstraZeneca, kemudahan pengilangan untuk konjugat ubat antibodi baru yang membolehkan terapi ketepatan untuk kanser," kata Pengerusi EDB, Png Cheong Boon.

Sementara itu, Ketua Eksekutif AstraZeneca, Pascal Soriot berkata ADC telah menunjukkan potensi besar untuk menggantikan kemoterapi tradisional dalam banyak keadaan.

Beliau menambah, "Singapura adalah salah satu negara yang paling menarik di dunia untuk pelaburan memandangkan reputasinya untuk kecemerlangan dalam pembuatan yang kompleks".

AstraZeneca juga berkata ia akan bekerjasama dengan kerajaan dan rakan kongsi lain untuk menjadikan fasiliti itu mesra alam dengan reka bentuk bersifat mengeluarkan karbon sifar sejak hari pertama operasi.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE