fb fb fb fb fb

Prabowo hadir persidangan tindakan kemanusiaan untuk Gaza di Jordan

Foto AFP

JAKARTA, 10 Jun- Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto tiba di Amman, Jordan, pada Isnin untuk menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi “Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza”, yang dianjurkan bersama oleh Jordan, Mesir, dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) esok.

Kehadirannya adalah bagi mewakili Presiden Joko Widodo, yang menerima surat jemputan daripada Presiden Mesir Abdel Fattah El Sisi, Raja Jordan Raja Abdullah II, dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres kepada Joko Widodo pada 30 Mei, menurut kenyataan daripada Kementerian Pertahanan.

"Persidangan ini diadakan sebagai respons kepada seruan untuk gencatan senjata di Gaza, dengan tujuan membolehkan ketua-ketua negara mengenal pasti cara untuk memperkukuh tindak balas komuniti antarabangsa terhadap bencana kemanusiaan yang sedang berlaku.

Dengan kehadiran wakil dari Kerajaan Indonesia di persidangan ini, diharapkan sumbangan nyata dapat diberikan kepada usaha kolektif untuk menangani krisis kemanusiaan di Gaza," kata Prabowo.

Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik cadangan Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa untuk menggerakkan sekolah-sekolah pondok, juga dikenali sebagai “pondok pesantren,” di Wilayah Jawa Timur untuk mendidik kanak-kanak dari Gaza.

Prabowo berkata beliau akan menyampaikan idea ini kepada Joko Widodo.

Terdahulu, beliau juga menggariskan kesediaan Indonesia untuk menghantar pasukan pengaman dan memindahkan orang awam yang terjejas oleh konflik di Gaza.

"Beliau (Khofifah) juga mencadangkan bahawa wilayah itu bersedia menerima 1,000 kanak-kanak Palestin dan mungkin beberapa ibu yang mengalami trauma untuk pendidikan sementara di sekolah-sekolah pondok di wilayah berkenaan," katanya pada Jumaat.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM