LISBON, 20 September - Portugal akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara secara rasmi pada Ahad ini.
Kenyataan Kementerian Luar negara itu memaklumkan rancangan itu akan dikemukakan menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.
Dijangkakan 10 negara akan melakukan perkara sama.
Antaranya Britain, Kanada dan Perancis.
Dilaporkan sejak Julai Lisbon sudah membuat pengumuman berkaitan hasrat untuk berbuat demikian memandangkan "konflik yang amat membimbangkan".
Ini termasuk krisis kemanusiaan dan ancaman berulang dilakukan Israel untuk mengambil alih tanah Palestin.
"Kementerian Luar mengesahkan bahawa Portugal akan mengiktiraf negara Palestin ... pengisytiharan rasmi pengiktirafan akan dibuat pada Ahad, 21 September," demikian menurut satu kenyataan di laman web kementerian berkenaan.
Kekejaman berterusan rejim zionis turut menyakinkan beberapa sekutu lama Israel untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin.
Awal Jumaat, seorang penasihat Presiden Perancis, Emmanuel Macron, turut memaklumkan Andorra, Australia, Belgium, Luxembourg, Malta dan San Marino dijangka menyusul membuat pengiktirafan sama.
Hampir tiga perempat daripada 193 negara anggota PBB telah mengiktiraf negara Palestin. - AFP